Individu PUI di Sarawak cuba tanggalkan peranti pengesanan berdepan denda RM3,000
Astro Awani
April 12, 2020 19:54 MYT
April 12, 2020 19:54 MYT
Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang diklasifikasikan sebagai Person Under Investigation (PUI) di Sarawak yang mengubah atau menanggalkan peranti sistem pengesanan pergelangan tangan sebelum tempoh ditetapkan.
Menurut Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dr Zaidi Razak, penggunaan peranti itu ke atas individu PUI adalah bagi memudahkan pihak penguat kuasa mengetahui lokasi mereka dan bagi tujuan pengawasan.
“Golongan yang memandang remeh pematuhan arahan ini akan dilaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk tindakan lanjut.
“Apabila arahan pemakaian gelang dan pelaporan lokasi ini diwartakan nanti, mereka yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM3,000,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Tegasnya lagi, pemeriksaan lanjut akan dilakukan terutamanya bagi individu yang gagal melaporkan lokasi mereka sepanjang tempoh kuarantin.
Sementara itu, kata Dr Zaidi, bagi memastikan sistem pengesanan gelang tangan digital berfungsi dengan lebih efisien, peranti tersebut akan terus ditambah baik dari pelbagai aspek.
Ini kerana ujar beliau, fasa awal pelaksanaannya dilihat belum mencapai tahap kelancaran 100 peratus dan memerlukan beberapa penambahbaikan.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut berkerjasama dengan Malaysia Airports Berhad bagi menyelaraskan informasi individu yang tiba ke negeri itu.
“Kami telah mengadakan komunikasi dengan pihak syarikat penerbangan, Malaysia Airports Berhad di samping menyediakan maklumat di media sosial, media elektronik dan media bercetak
“Terdapat juga talian hotline untuk menjawab kemusykilan orang awam. Sistem ini juga diselaraskan mengikut maklum balas yang diterima,” jelasnya.
Untuk pengetahuan umum, Sarawak adalah merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengguna pakai teknologi dari Korea Selatan itu dalam memerangi COVID-19.
Di samping berfungsi untuk melaporkan lokasi individu PUI, ia juga menggalakkan individu yang menerima notis duduk di rumah (SHN) untuk terus mematuhi arahan kuarantin tidak kira di hospital ataupun rumah.
Malah, maklumat terperinci dapat dikongsi dengan menggunakan telefon pintar menerusi bacaan kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan itu.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#digital
#Dr Zaidi Razak
#Hapuskan COVID 19
#Pengurus Besar SMA
#PUI
#Sarawak
#Sarawak Multimedia Authority
#Sistem Pengesanan Pergelangan Tangan
#SMA