Individu lengkap divaksin di negeri Fasa Dua dan seterusnya dibenar 'dine-in' - Muhyiddin
Astro Awani
Ogos 8, 2021 16:13 MYT
Ogos 8, 2021 16:13 MYT
KUALA LUMPUR : Aktiviti menjamu selera di premis makanan dibenarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua dan seterusnya, bermula 10 Ogos ini, ujar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad petang.
"Saya menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan.
"Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka," ujarnya dalam pengumuman khas tersebut.
Muhyiddin juga menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.
"Kita faham bahawa risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar," ujar beliau.
Selain itu, pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in wajib menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (COVID-19 vaccination digital certificate) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan mereka mematuhi SOP yang ketat.
"Keputusan ini dibuat dengan sangat berhati-hati dan ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia, ujar Muhyiddin.
Tambah beliau, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
Rujukan semasa:
Negeri Fasa 2: Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, P, Pinang, Sabah
Negeri Fasa 3: Labuan, Sarawak, Perlis