Individu hilang pekerjaan perlu berani belajar ilmu baharu, tingkat kemahiran

Hasimi Muhamad
Januari 7, 2021 19:11 MYT
Ifwat Amsyar (kanan); Prabakar (tengah) dan Raveendran (kiri) antara peserta yang mengikuti program 'upskilling' dan 'reskilling' sebelum mendapatkan pekerjaan - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Berdepan kesukaran dan kehilangan punca pendapatan ketika era pandemik COVID-19, tidak mematahkan semangat para peserta program latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk bangkit semula.
Meskipun perlu berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran baharu, ternyata ia akhirnya memberi seribu kemanisan kepada mereka.
Bagi Ifwat Amsyar Sharuddin, 26, pintu rezekinya terbuka selepas memohon latihan yang diiklankan di laman Facebook, tahun lalu.
Lebih mengujakan, graduan jurusan Diploma Teknologi Komputer Sistem di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Melaka itu tidak menyangka selepas seminggu menjalani latihan, dia ditawarkan pekerjaan sebagai Perunding Dron di SG Education Group (SGEG).
"Saya nasihatkan jangan memilih pekerjaan sebab tempat lain susah kita kena tambah pengetahuan, bukan setakat bidang IT sahaja tetapi kita kena tambah lagi pengetahuan dalam bidang-bidang seperti memasak.
"Saya telah menjalani latihan selama dua minggu dan ia lebih kepada bidang keusahawanan, dan minggu pertama kita berada di dalam kelas... belajar bagaimana pemasangan dron," katanya, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula atau 'reskilling and upskilling' di SG Academy, di sini.
BACA: Perdana Menteri luang masa lawat pusat peningkatan kemahiran dan latihan semula
Bagi Raveendran Subramaniam, 69, pengalaman berkhidmat sebagai jurulatih pesawat ringan selama lebih 20 tahun memberi kelebihan kepadanya untuk menceburi bidang teknologi dron selepas diberhentikan kerja.
Raveendaran yang kini menjadi jurulatih dron, menyifatkan usia bukan penghalang untuk dia kembali menceburi bidang yang diminatinya.
"Disebabkan COVID-19, sudah tentu tiada penerbangan komersial dan latihan penerbangan, jadi saya diberhentikan kerja.
"Melihat kepada situasi pasaran dan memandangkan saya mempunyai pengetahuan dalam bidang penerbangan, kenapa tidak saya ceburi (bidang dron) kerana industri ini sedang berkembang dengan cepat?
"Sasaran saya seterusnya ialah mahu menjadi pengajar penerbangan awam bertaraf organisasi antarabangsa," ujarnya.
Sementara bekas usahawan, Prabakar Sangappilai, 39, berkata mereka yang kehilangan pekerjaan perlu berani menceburi dan mempelajari kemahiran baharu.
Selepas menjalani latihan selama lima bulan, Prabakar kini mampu menjadi pengajar kepada peserta baharu dalam bidang penyelenggaraan dan pembaikan dron.
"Sekarang zaman pandemik COVID-19, banyak krisis (kesihatan) dan ekonom. Jadi, kita kena lebih yakin untuk belajar sesuatu kemahiran yang baharu.
"Sekali kita belajar kemahiran itu, kita tidak akan boleh lupa kerana ia akan bersama kita sahaja. Jadi, kamu boleh praktikkan dan melaksanakan pelbagai bidang," jelasnya.
Sementara itu, SGEG berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat mempertimbangkan cadangan dan usaha untuk memajukan industri teknologi dron di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ganes Palaniapan berkata beberapa cadangan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri termasuk menambah peruntukan terhadap latihan kemahiran teknologi tinggi, selain menubuhkan sebuah agensi yang boleh membangunkan teknologi dron secara pesat.
"Tahun 2020 dan 2021 adalah tahun yang baik sebab Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah siapkan beberapa standrard akta tetapi ia perlu diperhalusi kerana kita perlu melihat banyak sektor.
"Perkara itu juga saya usulkan kepada Perdana Menteri untuk melihat perkara-perkara yang melibatkan perundangan membabitkan dron supaya lebih banyak tenaga mahir dapat menceburi bidang ini," jelas beliau.
Setakat 28 Oktober tahun lalu, seramai 90,470 orang hilang pekerjaan berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #pandemik #COVID-19 #pekerjaan #perkeso #reskilling #upskilling #industri teknologi dron
;