Individu edar Sinar Harian palsu

Sinar Harian
Mei 8, 2018 13:36 MYT
Sinar Harian palsu yang diedarkan hari ini. Foto Sinar Harian
Akhbar Sinar Harian palsu dikesan diedarkan di sekitar Melaka oleh individu tidak bertanggungjawab sebagai bahan kempen PRU14.
Akbar palsu itu yang diedarkan secara percuma menggunakan masthead dan template Sinar Harian, mengandungi berita yang tidak benar.
Editor Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi berkata, beliau diberitahu mengenai akhbar palsu itu oleh seorang pembaca di Melaka melalui WhatsApp.
Beliau berkata, muka hadapan akhbar palsu itu bertajuk ‘Janji Sulit Tun M-Najib’ sangat berlainan dengan muka hadapan Sinar Harian hari ini bertajuk ‘Hadi Nasihat Tun M’.
“Kami kesal kerana Sinar Harian dijadikan sebagai bahan fitnah oleh individu tidak bertanggungjawab. Perbuatan ini bukan sahaja tidak beretika, malah bertentangan dengan prinsip Sinar Harian yang telus dan tulus,” katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis akan dibuat agar siasatan dapat dilakukan terhadap pihak yang melakukan perbuatan tersebut.
#akhbar #Azmi Tarmizi #fitnah #kempen #MalaysiaMemilih #Melaka #palsu #polis #PRU14 #siasatan #Sinar Harian #WhatsApp
;