Individu disyaki terlibat kes samun mengaku tidak bersalah pertuduhan khianat

Bernama
Ogos 13, 2024 08:07 MYT
G. Nagendran (dua, kanan) membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cubaan samun di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) minggu lepas, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat di Mahkamah Majistret di sini.
G. Nagendran, 32, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta milik seorang wanita, sekali gus menyebabkan kerugian kira-kira RM100 kepada warganegara tempatan berusia 37 tahun itu.
Kesalahan dilakukan pada 7 Ogos, berhampiran Stesen Minyak Petron Arah Timur, Lebuhraya KESAS, Subang Jaya, dekat sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Nagendran dalam masa sama, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine iaitu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua.
Peguam M. Partiben yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan jaminan yang rendah bagi kedua-dua pertuduhan, kerana anak guamnya perlu menanggung ibu bapa dan tiga orang anak yang masih kecil.
Majistret Sasha Diana Sabtu kemudiannya menetapkan jaminan RM2,800 bagi setiap pertuduhan dan sebutan semula kes pada 12 Nov.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan individu dipercayai terbabit cubaan menyamun seorang juruteknik wanita berdekatan sebuah stesen minyak di Lebuhraya KESAS, dekat sini, berjaya diberkas polis dalam serbuan berasingan pada 7 Ogos.
-- BERNAMA
#cubaan samun stesen minyak #KESAS #G Nagendran #lakukan perbuatan khianat