Individu dibawa naik trak penjara ke pusat kuarantin tidak benar - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
April 4, 2020 17:38 MYT
Sebaliknya, tegas beliau kesemua individu berkenaan dibawa menggunakan bas yang disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan kononnya individu yang dikuarantin dibawa ke pusat kuarantin menggunakan trak penjara.
Sebaliknya, tegas beliau kesemua individu berkenaan dibawa menggunakan bas yang disediakan oleh pihak kerajaan atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Trak hanya digunakan untuk membawa barangan mereka sahaja.
“Ini bermakna bahawa berita-berita palsu terus berlegar di dalam negara kita walaupun keadaan seperti COVID-19 ini sepatutnya semua berusaha untuk menenangkan rakyat dan membantu kerajaan tetapi masih ramai penyebar berita palsu,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.
Susulan itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita tidak benar sehingga mengganggu ketenteraman awam.
“Sehingga 3 April (Jumaat), sebanyak 184 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan berita palsu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes telah dibuka dan mereka telah didakwa di mahkamah.
“Jadi saya menyeru kepada rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan dalam membantu mengatasi kes COVID-19 dan bukannya mengeruhkan keadaan dan menimbulkan suasana tidak tenang,” ujarnya.
#Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA #koronavirus #Media #PDRM #Polis Diraja Malaysia #SKMM