Individu di stesen kuarantin dibenar pesan makanan luar

Rahimah Abdullah
Ogos 18, 2020 09:00 MYT
Sebelum ini KKM tidak membenarkan individu dikuarantin memesan makanan dari luar bagi mencegah masalah keracunan makanan.
Kerajaan membenarkan individu yang dikuarantin di stesen kuarantin untuk memesan makanan dari luar melalui penghantar makanan dalam talian.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, mereka bagaimanapun perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab jika timbul masalah termasuk keracunan makanan.
"Kita faham mereka akan duduk lama dalam hotel (stesen kuarantin) tersebut, jadi kita bersetuju mereka membuat pesanan makanan dari luar namun mesti menandatangan surat aku janji bahawa mereka akan bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya.
"Kerajaan dan KKM (Kementerian Kesihatan) tidak akan dipertanggungjawabkan," katanya dalam sidang media mengenai PKPP di bangunan Parlimen di sini pada Selasa.
Sebelum ini katanya, KKM tidak membenarkan individu dikuarantin memesan makanan dari luar bagi mencegah masalah keracunan makanan.
Dalam pada itu katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membangunkan portal maklumat dan stesen kuarantin dalam masa terdekat bagi memudahkan proses pendaftaran individu yang pulang ke tanah air.
Sejak 24 Julai sehingga 17 Ogos 2020, seramai 12,646 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua telah ditempatkan di 63 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah dan Labuan.
Daripada jumlah itu, seramai 5,216 individu telah dibenarkan pulang ke rumah manakala 43 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan,
Pegawai KKM bersama anggota PDRM juga telah membuat 481 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan mereka yang masih menjalani kuarantin di rumah mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Daripada pemeriksaan mengejut tersebut, empat individu telah dikenakan tindakan,"ujarnya.
#air #COVID19 #Hospital #hotel #ismail sabri yaakob #Kedah #kerajaan #KKM #Kuala Lumpur #Media #menteri #Negeri Sembilan #Parlimen #PDRM #PKPP #rumah #SOP