Individu dedah kepincangan SOP sembelihan di Australia masih gagal dihubungi - Idris Ahmad
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 17, 2022 13:14 MYT
Mei 17, 2022 13:14 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan masih belum dapat berhubung dengan individu yang mendedahkan apa yang didakwa pelanggaran prosedur penyembelihan halal di pusat penyembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ia penting dalam memastikan segala maklumat berkenaan kes berkenaan dapat disalurkan dengan segera.
Bagaimanapun jelasnya, pihaknya telah menghubungi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam untuk turut sama membantu bagi menghubungi individu berkenaan.
“Sampai hari ini kita nak hubungi mereka yang buat (aduan) itu supaya muncul ke depan. Semalam pun saya telah menghubungi pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk memberikan nombor dan menghubungi dia supaya individu ini dapat menghubungi pihak Jakim untuk ceritakan secara detail dan telus kepada pihak kita untuk kita ambil tindakan,” katanya selepas hadir pada Majlis Pelancaran Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di Putrajaya pagi ini.
Tambahnya lagi, pihaknya juga telah menghubungi pegawai kerajaan di Canberra semalam dan mendapati individu berkenaan bukanlah bernama Abdullah seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan individu berkenaan menggunakan nama tersebut disebabkan faktor keselamatan terhadapnya.
Kerajaan katanya tidak akan sama sekali berkompromi terhadap SOP penyembelihan haiwan yang akan dieksport masuk ke negara ini.
Malah jelasnya penggantungan yang dikenakan terhadap syarikat terbabit akan diteruskan sehingga siasatan selesai dilakukan sepenuhnya.
Sebelum ini Jakim memaklumkan menggantung kelulusan loji sembelihan tersebut berkuat kuasa serta-merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.
Ia susulan pendedahan yang dibuat oleh individu didakwa bekas pekerja di pusat penyembelihan itu yang diiktiraf Jakim sebelum ini.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai 'The Hood Man' itu mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam, manakala ahli keluarganya turut diugut, susulan pendedahan mengenai isu berkenaan.