Individu berkaliber anggotai jawatankuasa pemandu pendidikan tinggi - TPM
Bernama
Mei 26, 2015 06:44 MYT
Mei 26, 2015 06:44 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata individu berkaliber tinggi akan dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan bertanggungjawab sebagai pembuat keputusan dan perancang hala tuju strategik dalam pelaksanaan semua inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)(PPPM-PT) 2015-2025.
"Jawatankuasa pemandu ini akan disokong oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal yang akan memantau pelaksanaan inisiatif PPPM-PT dan ia berperanan sebagai pemudahcara proses penyelesaian masalah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya, PPPM-PT 2015-2025 di Universiti Malaya, di sini pada Selasa.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata pewujudan pasukan petugas khas itu membuktikan komitmen tinggi kementerian dalam memastikan kejayaan PPPM-PT
Muhyiddin berkata semua inisiatif PPPM-PT yang telah dikenal pasti akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama tahun ini, fasa kedua dari 2016 hingga 2020 dan fasa ketiga dari 2021 hingga 2025.
"Bagi fasa pertama tahun ini, sebanyak lima inisiatif keutamaan tinggi dan 14 inisiatif utama akan dimulakan. Lima inisiatif keutamaan tinggi ialah Program Transformasi Universiti, Formula Pembiayaan Baharu, 'Massive Open Online Course (MOOC)', Transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
"Bagi program CEO, sebanyak 23 CEO telah bersetuju untuk menyertai program ini dan watikah pelantikan akan diberikan kepada sembilan CEO pada pelancaran Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya hari ini," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif membabitkan CEO itu sedang dalam proses, diharapkan CEO yang dilantik akan memulakan tugas mereka di institusi pengajian tinggi pada semester bulan September depan.
Katanya untuk inisiatif program transformasi universiti, beberapa 'playbooks' akan disediakan dan menurutnya 'playbooks' adalah dokumen yang merekodkan amalan terbaik berdasarkan penanda aras dan pengalaman dari dalam dan luar negara bagi memberi panduan kepada perkara yang memerlukan penambahbaikan kritikal.
"Disebabkan setiap universiti mempunyai tahap kesediaan dan kekuatan yang berbeza, playbooks ini akan menyediakan langkah-langkah praktikal yang bersesuaian untuk membantu universiti melaksanakan inisiatif PPPM-PT di institusi mereka," katanya.
Muhyiddin berkata antara playbooks yang disediakan ialah memperhebatkan tadbir urus universiti dan keberkesanan Lembaga Pengarah; meningkatkan produktiviti dan kecekapan kos; memantapkan laluan kerjaya dan pembangunan kepimpinan; mewujudkan penjanaan pendapatan termasuk menerusi endowmen dan mengukuhkan pengurusan prestasi dan pelaporan kewangan.
"Saya sebagai Menteri Pndidikan akan memberi komitmen yang tinggi dalam menjayakan pelaksanaan PPPM-PT. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya dan akan memastikan sebarang masalah atau halangan dapat diselesaikan," katanya.
Sehubungan itu, katanya tempoh tiga bulan pertama selepas ini adalah amat kritikal bagi memastikan pelaksanaan semua inisiatif itu berjalan seperti dirancangkan manakala tiga bulan terakhir pada tahun ini juga amat penting untuk memastikan momentum pelaksanaan akan diteruskan ke tahun 2016.