Individu bekerja sendiri digesa carum SKSPS

Bernama
Mac 15, 2023 18:51 MYT
Mereka yang bekerja sendiri termasuk petani, nelayan, peniaga dan penjaja di negeri itu digesa mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). - Gambar hiasan
MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka menggesa agar lebih ramai pekerja yang bekerja sendiri termasuk petani, nelayan, peniaga dan penjaja di negeri itu, mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata sehingga kini, terdapat kira-kira 8,600 orang yang mencarum dan berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
"Angka ini kita dapati masih kecil dan kita berharap lebih ramai yang bekerja sendiri untuk tampil serta mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan perlindungan sosial dengan mendaftar dan mencarum di bawah Perkeso.
"Caruman ini bagi memastikan keselamatan serta kepentingan mereka lebih terjamin ketika keluar bekerja dan dilindungi sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada penerima Chong Lai Ling, 54, iaitu balu kepada orang berinsurans (OB) mendiang Cheah Chong Leng dalam kunjungan skuad Prihatin Perkeso di Kampung Tujuh, Gajah Berang di sini hari ini.
Mendiang Cheah, 51, yang bekerja sebagai pengayuh beca sejak 2018 terlibat dalam kemalangan pada 8 Dis lepas ketika perjalanan dari rumah ke tempat simpanan beca dan meninggal dunia semasa rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Waris iaitu balu dan anak kepada OB layak menerima faedah orang tanggungan berjumlah RM945 sebulan serta faedah pengurusan mayat yang dibayar secara sekali beri berjumlah RM2,000.
Dalam pada itu Abd Razak berkata Perkeso Melaka telah melunaskan tuntutan pelbagai faedah kepada 19,030 pekerja dengan bayaran lebih RM29.9 juta pada tahun lepas.
Katanya sehingga Februari lalu Perkeso telah membayar lebih RM4.79 juta kepada 1,452 pekerja membabitkan faedah seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen faedah orang tanggungan, pencen ilat, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.
-- BERNAMA
#perkeso #bekerja sendiri #SKSPS #keselamatan sosial
;