Individu 21 tahun ke atas perlu daftar sebagai pengundi sebelum jadi anggota Umno
Astro Awani
September 6, 2014 19:18 MYT
September 6, 2014 19:18 MYT
Mereka yang berhasrat untuk menjadi ahli Umno perlu berdaftar terlebih dahulu sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum memohon menjadi ahli parti itu.
Itu syarat baru diwajibkan bagi setiap individu berusia 21 tahun ke atas yang berhasrat ingin menjadi ahli Umno.
Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, syarat itu diletakkan bagi memastikan setiap ahlinya yang baharu adalah layak sebagai pengundi berdaftar.
“Tujuannya bukan menghalang tetapi memperkasakan parti Umno. Pada saat ini kita mempunyai ahli yang tidak berdaftar seramai 400 ribu orang, lebih. Ini satu jumlah besar. Di sesetengah kawasan saya sebutkan kita menang dalam lingkungan 300 lebih undi. Bayangkan 400 ribu undi itu satu jumlah yang besar,” kata Shafie.
Jelas beliau, jumlah besar itu bukan sahaja merugikan malah mampu memberikan impak yang besar terhadap Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Pada masa yang sama, pihaknya kini sedang menjalankan proses pemutihan bagi menjejaki dan mendaftarkan kumpulan berkenaan sebagai pengundi.
Bagaimanapun Umno katanya, sentiasa mengalu-alukan penyertaan mana-mana individu berusia antara 18 hingga 20 tahun menjadi ahli Umno meskipun masih belum layak mengundi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Temerloh, petang tadi.
Di majlis itu juga, Umno Temerloh turut menyampaikan sumbangan 10 ribu ringgit kepada Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al Agha.