Indikator ukur kos sara hidup diubah selari perkembangan semasa - Anwar

Bernama
Julai 2, 2024 12:50 MYT
Perdana Menteri berkata pengiraan indikator itu disusun berdasarkan perbelanjaan isi rumah dalam pelbagai aspek yang secara umumnya tidak dimasukkan dalam indikator KSH di kebanyakan negara lain.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup (KSH) rakyat telah diubah suai, bagi memastikan ia selari dengan perkembangan semasa negara.
Perdana Menteri berkata pengiraan indikator itu disusun berdasarkan perbelanjaan isi rumah dalam pelbagai aspek yang secara umumnya tidak dimasukkan dalam indikator KSH di kebanyakan negara lain.
"Keadaan semasa menuntut ada perubahan, (kerana) ada keperluan yang di Kuala Lumpur yang tidak sama dengan keperluan di Hulu Terengganu (contohnya). Oleh itu indeks harus diubah suai dan ini sedang dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat yang menetapkan kos sara hidup yang selari dengan perkembangan semasa.
"Kita juga ambil kira soal pengambilan neutral, diet Malaysia, semua itu diubah termasuk umpamanya makanan, minuman bukan alkohol, pakaian dan kasut, perumahan, air, elektrik, gas, hiasan, kesihatan, pengangkutan, maklumat dan komunikasi, rekreasi, sukan dan perkhidmatan pendidikan yang umum tidak dimasukkan dalam kos sara hidup di kebanyakkan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkenaan perkembangan terkini indikator baharu itu dan program yang dilaksanakan kerajaan berdasarkan dapatan indikator berkenaan.
Anwar berkata pengiraan indikator itu melibatkan 13 negeri, tiga Wilayah Persekutuan serta 162 daerah pentadbiran di seluruh negara, dan laporan indikator itu akan turut memuatkan maklumat mengenai Kecenderungan Mengguna Sut (Marginal Propensity to Consume) dan pariti kuasa beli (PPP).
Mengenai program yang dilaksanakan berdasarkan indikator KSH, Perdana Menteri berkata ia termasuk meningkatkan jumlah susbidi kepada rakyat yang terbeban dan terkesan.
"Bila kita lihat hal ini, memang kita akui ada permasalahan kerana kenaikan harga barang walaupun sebelum penyasaran subsidi diesel memang ada peningkatan itu. Mengenai penyasaran diesel, ya, betul ada masalah dalam pelaksanaanya yang harus kita tangani, tetapi jangan lupa bahawa ketirisan banyak, kecurian banyak umpamanya di sempadan-sempadan ini.
"Jadi jangan kita elak daripada mengakui masalah ketirisan, manfaat diperoleh orang asing yang terlalu banyak, kebocoran ketirisan diesel untuk nelayan asing, sebab itu bila kita ada tindakan penguatkuasaan berkesan, hasil diperoleh dan dipulangkan kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #kos sara hidup #indikator baharu
;