India sokong penyertaan Malaysia dalam BRICS - PM Anwar

Umavathi Ramayah
Ogos 21, 2024 18:37 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media bersama wakil media Malaysia di akhir lawatan beliau ke India hari ini. - Foto Bernama
NEW DELHI: India telah menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menyertai blok ekonomi BRICS.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perkara itu dipersetujui Perdana Menteri India, Narendra Modi di pertemuan pada Selasa susulan lawatan rasmi beliau ke negara itu.
"Saya kemukakan keputusan Malaysia untuk bersama dengan BRICS, setakat ini semua negara-negara utama yang terlibat telah menyatakan persetujuan dan semalam bila saya kemukakan (hasrat), Perdana Menteri, Modi bersetuju untuk menyokong penyertaan Malaysia.
"Pada tahap ini, ia masih di peringkat awal kerjasama. Penyertaan secara langsung akan diputuskan oleh wakil-wakil negara dalam pertemuan ketua-ketua negara di Kazan, Rusia, dalam tempoh satu atau dua bulan (lagi)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup sempena lawatan rasmi ke India sejak Isnin lalu.
Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
Anwar berkata Malaysia akan terlebih dahulu menjadi 'negara rakan' BRICS sebelum memuktamadkan penyertaan penuhnya dalam kumpulan tersebut.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun, terdiri dari Brazil, Rusia, India, dan China dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.
Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diterima sebagai anggota baharu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan Malaysia melanjutkan tempoh pemberian visa percuma kepada rakyat India, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberikan kemudahan tersebut sekiranya mendapat tindak balas yang sama daripada kerajaan India.
Beliau berkata jumlah pelancong India ke Malaysia kini mencecah hampir 800,000 orang dan kerajaan berharap angka tersebut meningkat kepada sejuta pelancong.
"Sebagai contoh, Perdana Menteri Modi secara spontan mengumumkan 100 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di India dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), di bawah inisiatif Indian Technical and Economic Cooperation Programme," katanya.
Modi semasa sidang media bersama Anwar semalam mengumumkan tawaran biasiswa tersebut kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti kursus yang ditawarkan bawah inisiatif berkenaan
Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat dengan 31 syarikat dan peneraju industri dari pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia, elektronik, pembuatan insulin, logistik, dan farmaseutikal.
Acara terakhir Perdana Menteri sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur adalah pertemuan dengan para pemimpin Islam di India, termasuk Maulana Syed Ahmed Bukhari daripada Masjid Jama dan Maulana Mahmood A. Maddani daripada Jamiat Ulama-i-Hind.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi, yang disifatkannya sebagai sahabat baiknya.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China sementara Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Modi setuju sokong penyertaan Malaysia dalam BRICS
#Penyertaan Malaysia #BRICS #Anwar Ibrahim #India sokong #Narendra Modi #lawatan rasmi #India