India import 46 peratus minyak sawit dari Malaysia pada November
Bernama
Disember 13, 2021 04:00 MYT
Disember 13, 2021 04:00 MYT
NEW DELHI: India mengimport 539,639 tan minyak sawit pada November, yang mana 46.6 peratus daripadanya dibekalkan oleh Malaysia.
Negara itu mengimport 244,505 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 7,500 tan olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dari Malaysia bulan lepas, menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) pada Isnin.
Import minyak yang boleh dimakan di India pada November berjumlah kira-kira 1.13 juta tan, iaitu 11 peratus lebih daripada jumlah pada Oktober.
Walaupun import minyak sawit negara itu pada November merosot dari bulan sebelumnya, import bulanan minyak kacang soya meningkat lebih dua kali ganda kepada 474,160 tan.
Import minyak sayuran pada November bernilai US$1.75 bilion, kira-kira 78 peratus lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu, menurut Kementerian Perdagangan negara itu.
-- BERNAMA