NEW DELHI: Seorang anggota tentera India terbunuh dan tiga lagi hilang dalam insiden runtuhan salji di Gunung Kun di wilayah Ladakh.

Kejadian berlaku ketika kira-kira 40 anggota dari High Altitude Warfare School (HAWS) dan Army Adventure Wing sedang menjalani latihan berhampiran Gunung Kun pada Ahad.

"Latihan mendaki gunung itu merupakan amalan biasa untuk peserta HAWS di bawah program 'Train the Trainer'.

"Malangnya, semasa latihan pendakian pada 8 Okt, kumpulan itu berdepan runtuhan salji. Empat anggota kami tertimbus," kata Komando Latihan Tentera pada Isnin.

Mayat seorang anggota telah ditemukan, manakala usaha mencari anggota yang terperangkap masih diteruskan.

-- BERNAMA