Indeks volum perkhidmatan tumbuh 6.7 peratus pada suku kedua 2024

Bernama
Ogos 8, 2024 15:00 MYT
Mohd Uzir berkata peningkatan dalam indeks itu meliputi empat segmen. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Indeks volum perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh 6.7 peratus pada suku kedua 2024 dengan 152.2 mata, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam indeks itu meliputi empat segmen iaitu segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan; perkhidmatan perniagaan dan kewangan; maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan lain.
Beliau berkata indeks volum bagi segmen perniagaan dan kewangan tumbuh 10.4 peratus dengan merekodkan 144.7 mata diikuti segmen perdagangan borang dan runcit serta makanan dan minuman dan segmen penginapan sebanyak 5.1 peratus dengan 152.6 mata.
"Peningkatan ini turut didorong oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan iaitu enam peratus dan segmen perkhidmatan lain 7.4 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi perbandingan suku tahunan pula, beliau berkata indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun kedua 2024 naik 1.2 peratus yang disumbang oleh peningkatan segmen perdagangan borong dan runcit; segmen makanan dan minuman dan penginapan diikuti segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (1.8 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (0.9 peratus).
Mohd Uzir berkata bagaimanapun, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan turun -0.1 peratus.
Indeks volum pelarasan musim pula, katanya mencatatkan pertumbuhan 3.9 peratus berbanding suku tahun pertama 2024.
Beliau berkata prestasi itu dipacu oleh pertumbuhan segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman dan penginapan (4.9 peratus); segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (3.3 peratus); segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (1.9 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (5.7 peratus).
-- BERNAMA
#DoSM #indeks volum perkhidmatan #segmen maklumat #perkhidmatan lain