Indeks syariah mula diguna pakai Januari 2015
Bernama
Ogos 28, 2014 16:30 MYT
Ogos 28, 2014 16:30 MYT
Indeks syariah bagi mengukur pencapaian sesebuah negara dalam melaksanakan tuntutan syarak bakal diguna pakai mulai Januari tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Beliau berkata indeks yang komprehensif itu sedang dibangunkan, diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
"Banyak sangat polemik, ada yang kata kita negara Islam dan ada yang kata sebaliknya.. bagaimana usaha kita untuk mengisi tuntutan Islam, syariat Islam, mesti ada ukuran yang saintifik.
"Bila ada indeks ini, kita boleh buat ukuran dan negara boleh buat perbandingan dengan negara lain, kalau ada yang dah berjaya Alhamdulillah, kalau masih ada kekurangan lagi kita sama-sama perbaiki," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umarak dan Anugerah Masjid Malaysia 2014 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis yang menghimpunkan lebih 3,000 ulama dan umarak itu ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapa.