Indeks Rasuah Malaysia naik ke tangga 54

Bernama
Disember 6, 2012 10:32 MYT
Malaysia meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu, menurut Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M), Datuk Paul Low.
Beliau berkata Malaysia mendapat 49 dari 100 mata pada survei yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di kalangan 176 negara.
"Penambahbaikan ini dijangka. Semua usaha dan langkah yang diambil kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelasanaan (Pemandu) telah membuahkan hasil dan kita berharap Malaysia berupaya memecah rekod," katanya pada sidang media mengenai keputusan CPI Malaysia untuk 2012, yang dikeluarkan Transparensi Antarabangsa seluruh dunia, Rabu.
"Terdapat penambahbaikan pada ranking, tetapi kedudukan Malaysia terus berada purata julat tengah dan kita berharap untuk melihat dalam tempoh dua tiga tahun lagi, meningkat luar biasa kepada poin 60," katanya.
Beliau memuji komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah di mana Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang berani memasukkan CPI sebagai sebahagian Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memerangi rasuah.
#CPI #Indeks Persepsi Rasuah #Paul Low #ranking #SPRM
;