Indeks rasuah: Malaysia berisiko jadi "fail state" jika masyarakat tidak mahu berubah
Rahimah Abdullah
Januari 29, 2021 13:07 MYT
Januari 29, 2021 13:07 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko menjadi sebuah negara yang gagal jika masyarakat tidak mahu berubah dan memperbetulkan tahap rasuah.
Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh berkata, perkara itu boleh berlaku apabila masih ada pihak yang masih bersikap mementingkan diri sendiri.
Katanya, pembaharuan kepada institusi (institutional reforms) tidak mampu dilaksanakan jika rakyat tidak memberi penekanan kepada kerajaan.
"Misalnya pembaharuan institusi, sudah ada hujah-hujah yang dibawa misalnya ada political financing dan sebagainya. Namun kalau kita tidak tekankan kepada kerajaan untuk melakukannya, (maka) rakyatlah buat. Jadi ini tidak akan berubah pasal banyak individu yang ada kepentingan sendiri," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Beliau pada masa sama turut memberi contoh sebuah negara yang pada awalnya berada pada kedudukan yang tinggi, namun pada akhirnya menjadi negara yang gagal apabila tidak memperbetulkan tahap rasuahnya.
"Saya pernah bekerja di Sekretariat Komanwel selama tujuh tahun dan saya lihat sebuah negara Afrika yang pada mula saya masuk kerja itu, berada di keadaan yang tinggi. Kalau kita ada di London, kalau kita beli makanan, semua makanan dari negara ini.
"Namun dalam 7 tahun, kerana tidak ada gerakan untuk memperbetulkan tahap rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, dalam masa tujuh tahun dia menjadi dikatakan fail state. Ini betul berlaku, bukan main-main," jelasnya.
Justeru, negara itu menjadi teladan kepada Malaysia agar mengambil tindakan segera terhadap isu rasuah.
"Jadi kalau kita tidak sedar, dan tidak mahu berubah, atau sangat tidak tekankan perubahan, maka negara kita akan menjadi satu daripada perkara seperti ini tadi. Pada pandangan saya," ujarnya lagi.
Katanya lagi, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dijangka akan terus menurun tahun hadapan jika tiada tindakan segera diambil negara.
Justeru, tanggungjawab membanteras rasuah bukan sahaja terletak di bahu kerajaan, malah rakyat perlu bersama-sama menanganinya.
#Astro Awani
#Astro
#integriti
#kerajaan
#Malaysia
#rakyat
#Rasuah
#indeks
#Dr Mohd Tap Salleh
#Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia