Indeks Persepsi Rasuah meningkat, Malaysia kini di tangga 51

Fareez Azman
Januari 23, 2020 12:59 MYT
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, Malaysia mencatatkan skor sebanyak 53 daripada 100 peratus berbanding skor sebanyak 47 pada tahun sebelumnya. - Foto Astro AWANI
Kedudukan Malaysia bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2019 meningkat ke tangga 51 daripada 180 negara berbanding pada tangga 61 pada tahun 2018.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, Malaysia mencatatkan skor sebanyak 53 daripada 100 peratus berbanding skor sebanyak 47 pada tahun sebelumnya
“Sembilan survey telah dijalankan di Malaysia, skor pada 2018 dan 2019 menunjukkan beberapa survey kita mencatatkan skor tinggi.
“Di Asia, negara yang mendapat skor tertinggi adalah Singapura dengan skor 85, Brunei juga mencatatkan penurunan tetapi Malaysia meningkat dari 61 ke 51. Kita berada pada tangga tiga terbaik di Asia,” kata Dr Muhammad.
Manakala bagi negara Islam, Malaysia dan Arab Saudi masing-masing berkongsi pada tangga keempat dengan skor yang sama.
Jelas Dr Muhammad, peningkatan CPI itu atas kejayaan kerajaan termasuk rakyat memerangi rasuah di negara ini.
Jika dibandingkan pada tahun 2012 sehingga 2014, Malaysia ujarnya mencatatkan penurunan mendadak selama tiga tahun berturut-turut.
“Jika anda lihat pada 2012 sehingga 2014, skor kita bertambah ketika Pemandu menerajui kempen dan kerajaan.
“Tetapi pada 2014, pendedahan (skandal) 1MDB, skor Malaysia terus menurun dan ia disebabkan oleh isu itu,” jelas Dr Muhammad.
Bagaimanapun pada tahun 2018, skor Malaysia meningkat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.
Ia selepas beberapa tindakan drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menjadikan Malaysia bebas rasuah.
“Beberapa tindakan diambil oleh kerajaan seperti skandal 1MDB, SRC, Felda, Tabung Haji dan penahanan beberapa ahli politik oleh SPRM berikutan rasuah dan pengubahan wang haram.
“Kita gesa semua rakyat Malaysia termasuk pekerja awam, swasta dan pihak penguatkuasa bekerjasama dalam memastikan skor ini meningkat. Jika tidak, skor ini akan menurun,” kata Dr Muhammad dalam sidang media di ibu negara pada Khamis.
#CPI Malaysia #Dr Muhammad Mohan #Indeks Persepsi Rasuah #Malaysia #peningkatan #Persepsi Rasuah #Presiden Transparency International Malaysia #Rasuah #TI-M
;