Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 2.4%, pembuatan pacu pertumbuhan

Nina Rozman
Julai 12, 2024 13:10 MYT
Peningkatan tersebut dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang tumbuh 4.6 peratus. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024, didorong oleh pertumbuhan output yang stabil dalam sektor pembuatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang tumbuh 4.6 peratus (April 2024: 4.9%) dan pengembangan 4.2 peratus dalam output Elektrik (April 2024: 7.8%).
"Walau bagaimanapun, pengeluaran sektor perlombongan merosot 6.9 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 10.0 peratus yang direkodkan pada April 2024,
"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP pulih kepada 3.5 peratus daripada negatif 7.6 peratus," kata Uzir.
Beliau mengulas lanjut, pertumbuhan stabil dalam output sektor pembuatan disokong peningkatan dalam industri berorientasikan eksport, yang meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 2.6 peratus yang direkodkan pada April 2024.
Ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak November 2022 (5.1%) didorong terutamanya oleh pemulihan yang kukuh dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal kepada 8.4 peratus (April 2024: -1.4%); dan peningkatan 4.8 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (April 2024: 2.7%).
Momentum pertumbuhan ini turut digambarkan dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 13.5 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 11.9%).
Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat 9.0 peratus berbanding negatif 11.6 peratus pada April 2024.
Pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik kekal kukuh sebanyak 6.4 peratus selepas mencatatkan 9.5 peratus pada April 2024.
Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 10.3 peratus; diikuti oleh Ppembuatan produk galian bukan logam lain (9.8%); dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (6.5%).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik berkembang 2.3 peratus (April 2024: -1.3%).
Tambah Ketua Perangkawan, kemerosotan 6.9 peratus dalam sektor perlombongan pada Mei 2024 disebabkan oleh penurunan pertumbuhan dua digit dalam pengeluaran gas asli iaitu pada negatif 10.3 peratus (April 2024: 14.9%), dan kejatuhan 1.9 peratus dalam output minyak mentah dan kondensat (April 2024: 3.5%).
"Begitu juga, indeks perlombongan menyusut 8.9 peratus selepas menyusut 6.3 peratus pada bulan sebelumnya. Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 (April 2024: 7.8%).
"Perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik pulih kepada 5.6 peratus (April 2024: -4.0%),” kata Uzir.
Merumuskan prestasi IPP bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, IPP bertambah baik iaitu sebanyak 3.6 peratus berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan (4.1%); indeks Ppembuatan (3.1%); dan indeks elektrik (7.8%).
Pada Mei 2024, IPP menunjukkan peningkatan trend bagi beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Taiwan.
Walau bagaimanapun, IPP menyederhana di China dan Korea Selatan sementara Thailand mencatatkan penyusutan.
#Mohd Uzir Mahidin #perindustrian #pembuatan #IPP
;