Indeks Pendayaupayaan: Pengguna belum benar-benar praktik hak mereka - Menteri

Afiezy Azaman
Mac 15, 2021 11:01 MYT
Alexander (tengah) pada Pelancaran Pelaksaan Peti dan Buku Log Lawatan Penguatkuasa KPDNHEP Di Stesen-Stesen Minyak Berhampiran Sempadan Negara di Stesen Minyak Petronas Pasir Pekan, Tumpat, 6 Mac, 2021. --Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia berada pada tahap 63.1 peratus dan dikategorikan sebagai tahap sederhana.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia dapat ditingkatkan melebihi 85% dalam masa dua tahun.
Menurut Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, indeks berkenaan menunjukkan bahawa pengguna di negara ini masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak sebagai pengguna.
"Kementerian akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat bagi menangani isu-isu kepenggunaan semasa.
"Kementerian juga akan terus memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi pendidikan kepada pengguna mengenai kelestarian alam sekitar dengan kerjasama NGO, komuniti dan masyarakat
awam.
"Ini akan selalu menjadi keutamaan kementerian untuk mengembangkan strategi berkesan yang memberi kuasa kepada pengguna menyesuaikan diri dengan cara hidup yang mampan serta menangani masalah kepenggunaan lain yang secara langsung memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021, di sini, hari ini.
#Indeks Pendayaupayaan Pengguna #KPDNHEP #hak sebagai pengguna #program advokasi #alam sekitar #Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia #Hari Pengguna Kebangsaan 2021 #Alexander Nanta Linggi #hak
;