Indeks ketegangan masyarakat semakin menurun di Malaysia

Bernama
Ogos 24, 2013 23:00 MYT
Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) yang mencatatkan penurunan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah satu petunjuk keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum yang semakin positif di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan berkata ini sekali gus menepis persepsi sesetengah pihak kononnya Malaysia berada di tahap kritikal dalam aspek keharmonian kaumnya.
"Jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada tahun 2008 bagi memantau statistik indeks ini membuktikan rekodnya semakin menurun dan terkawal sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.
"Pada tahun 2008 tahap bacaan IKM ialah 28.7 per juta dan ia agak membimbangkan manakala pada tahun 2009 (21.6 per juta), 2010 (22.5 per juta), 2011 (18.2 per juta), 2012 (19.9 per juta) dan hanya mencatat bacaan 9.2 per juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini hari ini.
Beliau berkata bacaan indeks yang sederhana ialah di bawah 25 dan pihaknya optimis tidak akan mencatat lebih dari 19 sebelum akhir tahun ini memandangkan sehingga Jun, indeks yang dicatat ialah 9.2 berbanding 10.4 yang direkod untuk tempoh sama pada 2012.
IKM dihasilkan dengan mengambil kira kes membabitkan rusuhan, demonstrasi, pergaduhan antara kaum, konflik dan isu sensitif yang dibincangkan di media sosial serta tradisional.
"Ini adalah perkembangan positif hasil kerjasama rapat semua pegawai jabatan serta pihak polis dalam membanteras sebarang konflik atau perselisihan faham antara kaum.
"Pengalaman kita sebelum ini mendapati semua perselisihan sama ada kecil atau besar pasti boleh diselesaikan dengan kaedah bersemuka dan itulah yang sering kita gunakan untuk meleraikan persengketaan demi melihat Malaysia yang aman dan makmur untuk warisan generasi akan datang," katanya.
#harmoni #Indeks Ketegangan Masyarakat #Jabatan Perpaduan Negara
;