Indeks Keamanan Global: Malaysia sasar kekal kedudukan 10 teratas - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Julai 6, 2024 12:40 MYT
Bagi GPI, Saifuddin menjelaskan Malaysia berada di kedudukan ketiga di peringkat Asia Pasifik, iaitu di belakang New Zealand dan Singapura.- Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan mengunjurkan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam senarai 10 teratas bagi Indeks Keamanan Global (GPI) susulan peningkatan sembilan anak tangga dalam indeks berkenaan, baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Kedudukan Ke-10 dalam GPI 2024: Malaysia telah naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024 dan kini menduduki tempat ke-10 sebagai salah satu negara paling aman di dunia. Ini merupakan pencapaian yang baik bagi keamanan negara.
  • Perkembangan Positif: Malaysia juga menunjukkan perkembangan positif dalam indeks ini. Contohnya, kedudukan dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) telah meningkat dari Tier 3 kepada Tier 2 pada tahun ini.
  • Keamanan dalam Domain Konflik Berterusan dan Ketenteraan: Malaysia disenaraikan sebagai salah satu daripada lima negara paling aman dalam domain konflik berterusan dan ketiga terbaik dalam domain ketenteraan. Ini menunjukkan komitmen negara terhadap keamanan dan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa indikator ditetapkan dalam mencapai sasaran tersebut termasuk usaha meningkatkan penglibatan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat serta pemegang taruh berkaitan.
“Kenapa penting kita bagi perhatian? Sebab para pelabur dia melihat indeks seperti ini sebelum dia nak datang (labur) duit mereka yang berbilion itu, dan dia nak tahu jaminan keamanan dan ketenteraman awam.
“Ia jadi satu petunjuk penting untuk segmen bagi pelabur.
“Banyak pihak yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ini. Tapi tak boleh langsung kita nafikan hakikat bahawa agensi penguat kuasa terbesar di negara ini adalah polis,” katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Larian Keselamatan Komuniti bagi meraikan Ulang Tahun ke-217 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, dengan program tersebut disertai lebih 10,000 peserta.
Mengambil contoh Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Saifuddin berkata kedudukan Malaysia menunjukkan perkembangan positif daripada Tier 3 kepada Tier 2 pada tahun ini.
Bagi GPI pula, beliau menjelaskan Malaysia berada di kedudukan ketiga di peringkat Asia Pasifik, iaitu di belakang New Zealand dan Singapura.
“Kalau ASEAN, kita berada di nombor dua. Kita letakkan sasaran berada dalam ‘top 10’ atau paling tak, kekal lingkungan ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Saifuddin berharap masyarakat umum boleh memainkan peranan sebagai juru cakap yang baik dalam menguar-uarkan kempen dan aktiviti yang digerakkan oleh pihak polis.
Selain itu, masyarakat katanya boleh menjadi penganjur kepada program-program kesedaran serta penggerak untuk menarik orang ramai melibatkan diri dalam usaha mengekang aktiviti jenayah.
Menurut GPI 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), Malaysia juga disenarai sebagai antara lima negara paling aman dalam domain konflik berterusan dan ketiga terbaik dalam domain ketenteraan.
GPI 2024 juga mendapati dunia semakin tidak aman sejak 16 tahun lepas dengan skor purata negara merosot sebanyak 4.5 peratus selepas indeks itu dimulakan pada 2008.
Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam laporan GPI 2023.
GPI ialah pengukur utama keamanan global serta membentangkan analisis yang dipacu oleh data paling komprehensif setakat ini dalam trend keamanan, nilai ekonominya dan cara membangunkan masyarakat yang harmoni.
#Indeks Keamanan Global GPI #Malaysia negara aman di dunia #Saifuddin Nasution #Polis Diraja Malaysia
;