Indeks jenayah seluruh negara menurun 2.7 peratus untuk 2016
Raffi Bachik
Disember 31, 2016 17:34 MYT
Disember 31, 2016 17:34 MYT
Kadar indeks jenayah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Disember 2016 mencatatkan penurunan 2.7 peratus.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, jumlah itu menjadikan hanya 112,000 kes direkodkan berbanding 115,225 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu lebih 50 peratus kes telah berjaya diselesaikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan penurunan lima peratus pada tahun akan datang.
“Apa yang penting, sekiranya kita tengok Indeks Jenayah seluruh Malaysia menurun 2.7 peratus. Untuk tahun depan kita akan usaha dengan kerjasama masyarakat untuk mencapai ke arah mungkin tahap lima peratus dan ini hanya akan berjaya sekiranya mendapat kerjasama dari masyarakat. Itu saya nak tekankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Forum Strategi Moden Pencegahan Jenayah dan Ekspo Teknologi di sebuah hotel di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.
Dalam pada itu katanya, pihak PDRM akan sentiasa memastikan keanggotaan di Melaka mencukupi memandangkan tumpuan pelancong ke negeri itu dilihat menunjukkan peratusan peningkatan yang tinggi tahun ini.