Indeks harga pengeluar Malaysia turun -1.8 peratus pada Ogos 2023

Bernama
September 26, 2023 04:30 MYT
Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus pada Ogos daripada 0.2 peratus pada Julai. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks harga pengeluar (IHP) Malaysia merosot kepada -1.8 peratus pada Ogos 2023, iaitu meningkat sedikit berbanding -2.3 peratus pada Julai (Jun: -4.8 peratus), kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Penurunan itu diterajui oleh sektor perlombongan, yang merosot kepada -3.8 peratus (Julai 2023: -10.8 peratus), dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan -6.5 peratus pada Ogos 2023.
"Pada masa yang sama, sektor pembuatan menurun sebanyak -2.3 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-13.4 peratus) dan indeks pembuatan produk makanan (-7.6 peratus)," kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pada asas bulanan, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus pada Ogos daripada 0.2 peratus pada Julai.
Sektor perlombongan meningkat sebanyak 3.9 peratus disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.0 peratus) dan pengekstrakan gas asli (0.7 peratus), katanya.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.9 peratus dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus.
Sektor bekalan air juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus pada bulan ini.
Sementara itu, sektor pembuatan menurun -0.2 peratus, disebabkan oleh indeks pembuatan produk petroleum bertapis (-1.2 peratus) dan pembuatan minyak dan lemakdaripada sayuran dan haiwan (-1.2 peratus).
Sektor bekalan elektrik dan gas juga merosot -0.1 peratus, kata Mohd Uzir. - BERNAMA
#Indeks Harga Pengeluar #IHP Malaysia #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin
;