Indeks Harga Pengeluar Malaysia susut 0.6 peratus pada Januari 2024 - DOSM
Bernama
Februari 27, 2024 05:50 MYT
Februari 27, 2024 05:50 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, menurun 0.6 peratus pada Januari 2024 berbanding negatif 1.3 peratus pada Disember 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan semalam berkata penyusutan itu terutamanya berikutan IHPR sektor perlombongan yang menyusut 1.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada Disember 2023, disebabkan oleh penurunan indeks pengekstrakan gas asli sebanyak 6.8 peratus.
IHPR meliputi indeks daripada lima sektor, iaitu perlombongan; pertanian, perhutanan dan perikanan; pembuatan; bekalan elektrik dan gas, dan bekalan air.
IHPR sektor pembuatan bagi Januari 2024 turut meningkat, menyusut 0.9 peratus berbanding penurunan 1.5 peratus pada Disember 2023, manakala sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.2 peratus berbanding pertumbuhan 1.3 peratus pada Disember 2023.
Indeks bekalan air pula menokok 0.6 peratus pada Januari berbanding pertumbuhan 0.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Menurut kenyataan itu, IHPR pada Januari bagi sektor bekalan elektrik dan gas terus menyusut 0.8 peratus berbanding penyusutan 0.6 peratus pada bulan terdahulu.
Mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, ia terdiri daripada bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya; bahan perantaraan, bekalan dan komponen; dan barang siap.
Mengulas selanjutnya, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.3 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 0.4 peratus), dengan indeks bahan makanan dan makanan untuk haiwan menokok 3.5 peratus.
"Sementara itu, indeks barang siap juga meningkat perlahan 0.5 peratus (Disember 2023: 1.1 peratus), disebabkan oleh peningkatan indeks kelengkapan modal (1.4 peratus).
"Bagaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus turun 2.0 peratus (Disember 2023: -3.0 peratus) disebabkan oleh bahan api yang diproses dan pelincir (-12.9 peratus) dan bahan dan komponen untuk pembuatan (-1.1 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada RM3,800 per tan pada Januari 2024 berbanding unjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) iaitu RM4,000 per tan pada 2024.
"Prospek yang positif terhadap harga MSM pada 2024 dipacu oleh perubahan corak penawaran dan permintaan di Indonesia serta pengeluaran bermusim yang rendah serta kesan El Nino.
"Bagaimanapun, harga dagangan pada Januari dipengaruhi oleh permintaan yang sederhana dari negara pengimport utama dan persaingan harga dengan minyak bunga matahari dan biji sesawi berbanding bulan sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA