Indeks harga pengeluar Malaysia naik 1.6 peratus pada Jun 2024 - DOSM
Bernama
Julai 29, 2024 21:00 MYT
Julai 29, 2024 21:00 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Jun 2024 berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IHPR mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor dalam IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan sejak Mac 2024.
"Sektor perlombongan meningkat 4.6 peratus (Mei 2024: 6.6 peratus), dengan indeks pengekstrakan gas asli dan pengekstrakan petroleum mentah masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 4.5 peratus.
"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.4 peratus daripada 1.3 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (7.5 peratus) dan pengeluaran ternakan (1.7 peratus)," katanya dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan, Malaysia Jun 2024 yang dikeluarkan pada Isnin.
Beliau berkata pada masa sama, sektor pembuatan meningkat 1.1 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: 1.0 peratus) didorong oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.2 peratus).
Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air meningkat 7.8 peratus (Mei 2024: 8.7 peratus), manakala indeks bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 1.0 peratus (Mei 2024: 1.5 peratus), katanya.
Mohd Uzir berkata pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun perlahan negatif 0.1 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: -0.9 peratus).
"Penurunan ini dipengaruhi oleh sektor perlombongan yang turun negatif 3.4 peratus (Mei 2024: -5.5 peratus), disebabkan oleh indeks pengekstrakan gas asli (-3.7 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-3.3 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata selain itu, purata harga minyak sawit mentah (MSM) adalah sekitar RM3,960 satu tan pada Jun 2024, peningkatan daripada sekitar RM3,900 satu tan pada bulan sebelumnya.
"Kenaikan harga ini disebabkan oleh bekalan yang dijangka terhad dari Malaysia dan Indonesia menjelang akhir 2024, ditambah dengan peningkatan eksport minyak sawit.
"Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut memaklumkan walaupun harga mungkin mengalami sedikit peningkatan, tetapi dijangka kekal di bawah RM4,150 satu tan. Had ini ini disebabkan oleh unjuran lebihan pengeluaran benih minyak oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) untuk 2024 dan 2025," katanya.
-- BERNAMA