Indeks Daya Huni akan jadi pengukur berimpak tinggi - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
November 17, 2021 11:27 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia di ibu negara pagi tadi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Indeks Daya Huni Malaysia yang dilancarkan hari ini mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara makmur dan berdaya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira semua kriteria bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4) .
“Bagi melihat keseluruhan pelaksanaan RFN Ke-4 serta aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara, satu Indeks Daya Huni Malaysia atau 'Malaysia Livability Index' akan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peranan PLANMalaysia.
“Indeks Daya Huni Malaysia ini akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah RFN Ke-4,” katanya.
Selain itu katanya, Indeks Daya Huni akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat Rancangan Fizikal Negara ke-4 atau RFN ke-4 mampu direalisasikan.
“RFN Ke-4 telah dirangka dengan 3 Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur (prosperous nation) dan berdaya tahan (resilient) dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.
“Ia juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti New Urban Agenda (NUA) dan Sustainable Development Goals (SDG) serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelasnya lagi.
Beliau juga yakin pelaksanaan RFN Ke-4 itu nanti akan menerima komitmen semua pihak khususnya kementerian dan agensi-agensi di peringkat persekutuan mahupun negeri.
#ekonomi #ismail sabri yaakob #nilai #Perdana Menteri
;