Indeks CPI: Skor negara menurun dipengaruhi pelbagai faktor penilaian - Akhbar Satar

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 31, 2023 15:18 MYT
Menurut Akhbar, keadaan semasa ekonomi dan politik negara ketika ini, harus diakui tidak begitu kukuh dan stabil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Indikator dalam menentukan indeks persepsi rasuah (CPI) bukan sahaja dipengaruhi oleh jumlah kes rasuah yang berlaku di dalam negara, namun ia membabitkan faktor sosio-ekonomi dan politik.
Menurut Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar. penilaian itu turut tertumpu kepada senario dalam sesebuah negara itu, samada (dalam kalangan) ahli politik ada yang dipercayai menyalahgunakan kuasa.
“Salah satu soalan juga yang ditanya adakah ahli politik melakukan rasuah dan sebagainya atau menggunakan duit samada sumbangan politik untuk parti sendiri atau tidak.” jelasnya dalam program Pantau Kerajaan Baharu, terbitan Astro AWANI pada Selasa.
Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.
Presiden TI-Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, pada tahun 2019 Malaysia berada di tangga ke 53, skor negara jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas.
BACA: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia naik ke tangga 61, skor turun 1 mata
Tambahnya, kestabilan sosio-ekonomi dan politik juga memainkan peranan utama dalam mempengaruhi indeks yang akan digunakan dalam menentukan kedudukan ranking sesebuah negara.
Dalam masa yang sama, jelasnya, penilaian yang dibuat turut melibatkan mereka daripada individu atau dikalangan professional yang kebanyakkanya dari luar.
“Kebiasaannya, mereka ini daripada luar yang duduk di sini dan penilaian juga dilaksanakan oleh golongan-golongan professional.
“Kebiasaannya, golongan-golongan ini lebih melihat kepada keadaan politik samada, mereka suka atau tidak terhadap seseorang pemimpin, ini juga memainkan peranan," tambahnya.
Menurut Akhbar, keadaan semasa ekonomi dan politik negara ketika ini, harus diakui tidak begitu kukuh.
Pergolakan yang berlaku juga tidak mustahil turut mempengaruhi pemberian markah yang lebih rendah terhadap skor CPI, tambahnya.
#Akhbar Satar #Indeks Persepsi Rasuah #CPI #Transparency International
;