Inap desa akan diperbanyakkan lagi di kawasan pelancongan eko
Bernama
Ogos 13, 2018 05:03 MYT
Ogos 13, 2018 05:03 MYT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memperbanyakkan lagi jumlah inap desa di kawasan produk pelancongan eko bagi membolehkan penduduk setempat mendapat manfaat daripada kedatangan pelancong ke kawasan mereka.
Timbalan menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini berkata masih banyak kawasan produk pelancongan eko di negara ini masih tidak mempunyai kemudahan hotel dan ini memberi peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan.
"Lebih banyak produk pelancongan ecotourism (kita perkenalkan), maka lebih banyak lagi homestay (inap desa) yang kita akan wujudkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Belia ASEAN di Homestay Desa Wang Tok Rendong di sini.
Dalam pada itu, beliau meminta usahawan-usahawan inap desa yang masih belum berdaftar dengan kementerian itu untuk mendaftarkan diri mereka bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat dari segi latihan untuk memajukan usaha mereka.
"Pendaftaran ini adalah percuma dan kementerian kita mempunyai kepakaran, ada 'content experts' dalam membimbing usahawan bagaimana menjalankan homestay," katanya, sambil menambah seramai 4,025 pengusaha inap desa sudah mendaftar dengan kementerian itu setakat ini.
Menyentuh pemilihan inap desa untuk Program Sukarelawan Belia ASEAN ini, Muhammad Bakhtiar berkata ia sejajar dengan hasrat kementerian itu untuk memberi peluang kepada peserta-peserta program itu untuk mengalami sendiri pengalaman tinggal di inap desa di Malaysia.
"Homestay Desa Wang Tok Rendong merupakan salah satu business model yang terbaik untuk homestay dan pengalaman berada di sini yang boleh dipelajari oleh peserta-peserta program ini apabila mereka balik ke negara masing-masing nanti," katanya,
Seramai 50 orang belia berumur di antara 18 dan 30 tahun dari 10 negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam program itu sejak dua minggu lepas.
-- BERNAMA
#hotel
#inap desa
#Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya
#Langkawi
#Muhammad Bakthiar Wan Chik
#produk pelancongan