Imuniti kelompok mampu lindungi golongan berisiko - Pakar Kesihatan Awam

Hasimi Muhamad
Februari 27, 2021 19:09 MYT
Penting untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Imuniti kelompok bukan sahaja mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, sebaliknya boleh melindungi golongan berisiko.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata terdapat sebilangan kecil individu yang tidak boleh diberikan suntikan vaksin susulan masalah antibodi dan dibimbangi menyebabkan komplikasi.
Justeru, katanya adalah penting untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus COVID-19 melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
“Jadi untuk melindungi kelompok ini kita perlu mencapai satu jumlah populasi kita yang terlindung, dan sudah mempunyai antibodi terhadap jangkitan tersebut.
“Jadi, penting apabila kita telah mencapai satu tahap yang mana mencapai imuniti kelompok, maka individu-individu lain yang tidak boleh divaksin akan terlindung daripada mendapat jangkitan.
“Dari konteks jangkitan COVID-19, ada individu yang mudah mendapat komplikasi teruk jika mereka mendapat jangkitan dan sebahagian besar kematian dicatatkan daripada kumpulan ini.
“Dari data-data saintifik mendapati mereka yang berumur lebih 60 tahun, mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Mereka yang tidak dapat divaksin ini disebut sebagai third immunocompromised (individu kurang daya tahan jangkitan),” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Imuniti kelompok atau herd imunity ialah keadaan penularan jangkitan sesuatu penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar populasi di kawasan terbabit mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Malina menambah paling awal Malaysia boleh mencapai imuniti kelompok adalah sekitar enam bulan lagi atau hujung Oktober ini.
Jelasnya, keadaan itu bergantung kepada kemudahan logistik, sumber manusia serta keupayaan petugas kesihatan untuk memberikan suntikan vaksin dengan kadar 126,000 individu setiap hari.
“Bagaimanapun ada beberapa keadaan yang kita terpaksa hadapi yang mana mungkin tempoh untuk kita capai (imuniti kelompok) secara realistiknya pada Januari tahun depan.
“Angka 80 peratus (divaksinasi), kalau kita dapat memberikan kerjasama dan setiap individu dapat mendaftar dan hadir janji temu tanpa sebarang kegagalan, saya berpendapat tarikh yang disarankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (antara enam hingga sembilan bulan) adalah realistik untuk dicapai,” jelasnya.
BACA: Kesan sampingan suntikan vaksin kes terpencil - Dr Noor Hisham
BACA: [LAPOR LANGSUNG] 300,000 dos vaksin Sinovac tiba di Malaysia pagi ini
Katanya, Malaysia menyasarkan 80 peratus populasi penduduk divaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok.
Bagaimanapun, jika pola jangkitan COVID-19 berada pada paras selamat, 50 hingga 60 peratus liputan vaksinasi sudah mencukupi untuk diklasifikasikan sebagai imuniti kelompok, ujar beliau.
Mengenai risiko jika negara gagal mencapai imuniti kelompok pula, Dr Malina berkata beberapa indikasi perlu diperhalusi termasuk kadar kebolehjangkitan dan data epidemiologi pola jangkitan semasa.
“Kita boleh juga melakukan kajian paras antibodi masyarakat terhadap jangkitan untuk memastikan kita telah selamat daripada ancaman wabak.
“Perlindungan terhadap jangkitan mungkin terhasil daripada antibodi semulajadi yang dihasilkan melalui pendedahan terhadap punca jangkitan.
“Oleh itu walaupun nanti, sekiranya liputan vaksin tidak dapat mencapai peratusan yang diharapkan, kita masih boleh menentukan kita selamat atau tidak melalui indikator berkenaan,” jelas beliau.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #imuniti kelompok #Sasaran capai imuniti kelompok #golongan berisiko tinggi #Dr Malina Osman #jangkitan COVID-19 #penyakit kencing manis #penyakit jantung #kadar kebolehjangkitan
;