Imran Khan akan hadir KL Summit akan datang
Wan Syamsul Amly
Februari 4, 2020 13:30 MYT
Februari 4, 2020 13:30 MYT
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menjelaskan beliau akan hadir ke ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) akan datang.
Jelasnya, ia selepas sidang yang diadakan tahun lepas membuktikan ia pentas menyatupadukan ummah.
"Saya akan hadir, sekarang terbukti, KL Summit tidak memecahbelahkan ummah. Hasil KL Summit lebih besar dari itu, ia menyatupadukan ummah. Saya akan hadir," katanya semasa sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Selasa.
Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan, Imran tidak memberikan sebarang alasan atas keputusan saat akhir beliau untuk tidak hadir pada KL Summit tahun lepas.
Dr Mahathir sebelum ini juga dilaporkan berkata, tiada paksaan kepada mana-mana pihak dalam membuat keputusan bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Dalam perkembangan berlainan, Imran berkata, Pakistan berhasrat membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia.
Jelasnya, ia selepas mereka mendapati India mengugut mahu mengurangkan import minyak sawit Malaysia kerana menyokong perjuangan di Kashmir.
Pada 8 Januari lalu, kerajaan India bertindak mengenakan sekatan terhadap import minyak sawit bertapis dari Malaysia atas alasan bagi melindungi pihak penapis domestik.
Untuk rekod, India bergantung kepada pengimportan 70 peratus daripada keperluan minyak makannya manakala minyak sawit Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir dua pertiga daripada import tahunan minyak sayuran sebanyak 15 juta tan.
Kerajaan India pada Januari bertindak menguatkuasakan pengurangan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala minyak bertapis kepada 45 peratus daripada 50 peratus.
#Imran Khan
#India
#Indonesia
#kelapa sawit
#kerajaan
#KL Summit
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#minyak
#Pakistan
#perdana menteri pakistan