Import telur dari India hanya sementara, bukan kekal - Mohamad Sabu
Fareez Azman
Januari 16, 2023 15:20 MYT
Januari 16, 2023 15:20 MYT
PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan mengambil keputusan mengimport telur ayam dari India hanya untuk memenuhi keperluan bekalan di negara ini untuk jangka masa krisis.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, India merupakan antara yang membuat tawaran secara cepat kepada kerajaan ketika krisis kekurangan telur melanda negara.
"Sebab waktu itu kita buat (import) cara segera, mana yang buat tawaran secara cepat. Kebetulan telur itu juga dibekalkan kepada temasya Piala Dunia di Qatar… jadi nak import secara biasa lambat kena proses veterina semua.
"Bila Piala Dunia itu dipermudahkan cara, buat masa ini (import telur) dari India," kata Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berucap di Majlis Amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama warga kementerian bagi tahun 2023 di Wisma Tani, di sini, pada Isnin.
Jelas Mohamad, tindakan mengimport itu tidak kekal dan satu langkah sedang dirangka kerajaan dalam memastikan bekalan telur mencukupi.
"Sekarang masalah pengeluar tempatan tak cukup keluarkan telur, kalau boleh keluarkan cukup tiada masalah.
"Kita kata telur import ini bukan kekal, ia hanya menampung sementara bukan kekal.
"Kekal kita akan bergantung kepada penternak telur tempatan (untuk) jangka masa panjang. Kita pun sedang berbincang sama ada nak diapungkan subsidi dan fokus kepada golongan B40," jelasnya lagi.