Import daging hanya dari rumah sembelih diluluskan veterinar - Jakim

Bernama
Disember 4, 2020 04:21 MYT
Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad mencadangkan kerajaan Persekutuan mengehadkan bilangan negara pengeksport daging halal bagi mengelak berulangnya isu kartel daging sejuk beku menggunakan cop halal palsu. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada rumah sembelih atau loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja.
Mengulas isu sindiket seludup daging yang terbongkar dua hari lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata daging dan produk daging yang diimport juga perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
"Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Abdul Aziz turut menzahirkan penghargaan kepada agensi yang terlibat melaksanakan operasi bersepadu perihal dagangan halal yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan daging sejuk beku terbabit.
Rabu lepas, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Maqis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.
Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Di JOHOR BAHRU, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad mencadangkan kerajaan Persekutuan mengehadkan bilangan negara pengeksport daging halal ke Malaysia bagi mengelak berulangnya isu kartel daging sejuk beku menggunakan cop halal palsu.
Yahya berkata, langkah berkenaan penting agar pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan mengawal syarikat pembekal daging halal di negara terbabit untuk mematuhi standard, kualiti dan standard penarafan halal yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
"Sudah sampai masanya, kerajaan Malaysia mengehadkan syarikat yang diberi lesen mengimport daging halal dari luar negara hanya kepada syarikat yang dimiliki oleh orang Islam, sama ada pemilikan penuh atau pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.
"Hanya orang Islam yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat Islam...Ketulenan halal sesuatu makanan, terutama yang melibatkan daging adalah merupakan suatu perkara yang sentiasa dijaga dan diawasi oleh masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan juga diharapkan dapat menghantar pegawai pengesah halal dari Malaysia dan ditempatkan di setiap syarikat penyembelihan dan ladang ternakan lembu yang terpilih untuk membekalkan daging import ke negara ini.
Katanya, pegawai berkenaan akan ditugaskan untuk membuat lawatan ke ladang-ladang ternak lembu dan kilang penyembelihan milik syarikat-syarikat pengeksport secara berkala bagi memantau proses penyembelihan halal dilakukan berbanding ketika ini pegawai pengesah halal ke negara pengeskport hanya ditempatkan di pejabat kedutaan Malaysia.
Menurutnya, dalam urusan pengimportan daging halal, pihak pengimport di negara kita juga tidak lagi boleh bergantung kepada pengesahan halal dari negara pengeksport semata-mata kerana terdapat sesetengah negara pengeksport pengesahan halal hanya dikeluarkan oleh pertubuhan masyarakat Islam di negara berkenaan.
"Keupayaan mereka untuk mengesahkan daging sembelihan halal mengikut standard masih tidak dapat diyakini sepenuhnya. Sebaliknya, perlu sentiasa merujuk bagi mendapatkan pengesahan kepada Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.
-- BERNAMA
#pengimportan daging #produk daging #rumah sembelih #JAKIM #daging #Halal #import #Islam #seludup daging #sindiket #Abdul Aziz Jusoh #sijil #luar negara #operasi bersepadu #Senai #maqis #kartel #palsu #Yahya Ahmad #Daging sejuk beku #halal palsu #kartel daging
;