Import beras bukan kerana keperluan, tetapi pilihan - Shabery

Wan Syamsul Amly
September 26, 2017 16:01 MYT
SHABERY: Import beras dilihat bukan satu keperluan, sebaliknya sebagai memenuhi permintaan rakyat negara ini sendiri. -Gambar fail
Import beras dilihat bukan satu keperluan, sebaliknya sebagai memenuhi permintaan rakyat negara ini sendiri.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata amalan import beras turut dibuat salah satu negara pengeksport terbesar hasil pertanian itu sendiri iaitu Thailand.
Jelasnya, import beras juga satu strategi perdagangan sekali gus timbal balas di atas pembelian produk keluaran Malaysia oleh negara luar.
"Kita tidak akan hentikan import. Seperti Thailand sendiri, mereka adalah antara pengeksport terbesar tetapi ada rakyatnya yang mahu beras Basmati yang tidak ditaham di negara itu, maka diimport Basmati.
"Jangan kata negara pengeluar beras terbesar tidak ada mengimport langsung beras, ada pelbagai jenis beras dan tidak ada negara yang boleh keluarkan semua sekali, jadi ada import dan eksport.
"Thailand tidak sekat Basmati masuk ke dalam negara mereka. Tetapi saya katakan import kita bukan semata-mata kerana keperluan tetapi kerana pilihan," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2017 di sini hari ini.
TONTON: Tidak nafi harga beras import bakal naik
TONTON: PPBMM: Kerajaan harus kaji semula import beras Malaysia
Persidangan Padi Kebangsaan 2017 dengan tema ‘Meneroka Potensi Eksport ' menyediakan platform untuk pelbagai pihak berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pendapat serta idea tentang isu-isu semasa dan terkini dalam industri padi dan beras negara.
Ia kesinambungan penganjuran Persidangan Padi Kebangsaan yang diadakan pada 2010 dan 2013.
Dalam pada itu, kata Shabery, terdapat lapan kawasan jelapang padi utama yang merangkumi keseluruhan 52 peratus daripada jumlah kawasan tanah rendah yang bertanam padi.
"Pembukaan empat kawasan jelapang baharu iaitu di Kota Belud (Sabah), Batang Lupar (Sarawak), Rompin dan Pekan (Pahang) yang meliputi 19,000 hektar kawasan bertujuan meningkatkan pengeluaran beras negara yang bukan sahaja dapat memenuhi jaminan dan keperluan keselamatan makanan, malah berupaya untuk dieksport.
"Bagi memenuhi keperluan eksport, produktiviti padi tempatan perlu sentiasa dipertingkatkan melalui penanaman pelbagai jenis padi berhasil tinggi, amalan penanaman yang baik dan sistematik, pengawalan penyakit dan makhluk perosak yang efektif dan bersepadu dan penambahbaikan infrastruktur seperti saliran dan pengairan serta jalan-jalan ladang ke tahap terbaik," katanya.
Sebelum ini, Shabery dilaporkan berkata Kerajaan tidak mengawal atau menetapkan harga siling bagi beras import, sebaliknya memastikan beras import tidak boleh dijual lebih murah daripada beras tempatan bagi melindungi industri beras dan padi tempatan.
Shabery juga tidak menolak kemungkinan harga beras import akan meningkat sehingga AS$400 setiap tan metrik ekoran permintaan tinggi dunia.
#basmati #beras #Persidangan Padi Kebangsaan #Shabery Cheek #Thailand
;