Import ayam beku langkah sementara, industri tempatan dijangka stabil menjelang Feb 2022 - Ronald

Firdaus Azil
Disember 14, 2021 11:49 MYT
Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah itu dilakukan memandangkan terdapat kekurangan sebanyak 17.73 peratus, daripada permintaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengimport ayam sejuk beku dari Thailand dan China, adalah langkah intervensi sementara menunggu industri ayam tempatan kembali stabil, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah itu dilakukan memandangkan terdapat kekurangan sebanyak 17.73 peratus, daripada permintaan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Beluran itu berkata, kerajaan menjangkakan keadaan kembali stabil menjelang Februari 2022.
"Unjuran pengeluaran ayam pada Disember adalah 61 juta ekor. Kekurangan bekalan ayam di pasaran antara lain disebabkan permintaan mendadak setelah pembukaan sektor ekonomi pada Oktober lepas. Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, kerajaan mengimport ayam sejuk beku sebagai langkah intervensi pastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi, harga stabil dan berpatutan.
"Pengimportan ayam ini hanya dibenarkan dari loji penyembelihan luar negara yang sah dan iktiraf. Langkah intervensi ini bersifat sementara, sehingga bekalan ayam dapat distabilkan industri ayam tempatan. MAFI akan terus memantau bagi memastikan pengimportan untuk menampung keperluan bekalan tidak jejaskan industri ayam tempatan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Fasiah Fakeh yang mahu tahu status semasa permintaan ayam, dan justifikasi mengimport ayam beku.
Terdahulu, Ronald berkata, purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik sehari atau 113,220 tan metrik sebulan.
Beliau berkata, ia bersamaan dengan 2.0 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan. Pengeluaran ayam pada bulan Oktober 2021 adalah sebanyak 52.05 juta ekor, dan pengeluaran tersebut telah menurun kepada 51.4 juta ekor pada bulan November 2021 iaitu kekurangan sebanyak 17.73 peratus berbanding dengan keperluan sebenar.
Manakala, unjuran pengeluaran ayam pada bulan Disember 2021, katanya lagi, disasarkan sebanyak 61 juta ekor.
“Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, Kerajaan telah memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sebagai langkah intervensi untuk memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
“Kebenaran pengimportan ini adalah sehingga 10,000 tan metrik sebulan atau bersamaan dengan 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh Disember 2021 hingga Februari 2022 tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pengimportan bekalan ayam ini hanya dibenarkan dari loji penyembelihan luar negara yang telah disahkan dan diiktiraf oleh Kerajaan,” katanya lagi.
Mengulas Lanjut, Ronald berkata, kerajaan sedia maklum pengimportan jagung dan bijirin dari luar antara faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam.
"Kita sedang mengolah Dasar Agromakanan Negara 2.0 melihat tindakan yang perlu diambil kementerian bagi kurangkan kebergantungan kita terhadap komponen makanan ternakan diimport dari luar.
“Ia akan melibatkan penumpuan terhadap penanaman jagung, penyelidikan, seperti digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya lagi.
Ketika ini akan berhadapan dengan harga kenaikan ayam, ternakan, pengaruhi harga pasaran di negara kita.
#Dewan Rakyat #Ronald Kiandee #import ayam beku #langkah intervensi
;