Impian wira Lahad Datu Allahyarham Asp Zulkifli Mamat bina kedai tertunai

Bernama
Februari 12, 2014 07:30 MYT
Ibu Wira Lahad Datu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, Khatijah Ismail. --foto arkib
Impian Wira Lahad Datu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat membina sebuah kedai untuk kesenangan adik-adiknya akhirnya tertunai.
Menurut ibunya Khatijah Ismail, 65, sebelum ini arwah pernah menyatakan hasrat tersebut untuk menjamin kesenangan mereka terutama adik-adiknya pada masa depan.
Akhirnya, kata Khatijah mereka sekeluarga berjaya membina sebuah kedai jahit di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Ikan di sini.
Dia berkata, kedai itu dibina dengan wang sumbangan daripada pelbagai pihak sebagai tanda ingatan terhadap anaknya itu, ketiga daripada enam beradik.
"Kedai jahit itu akan diusahakan oleh adik perempuannya.
"Bila makcik terkenang balik apa yang pernah diucapkan oleh arwah sebelum ini. Makcik panggil anak-anak makcik yang lain dan bincang untuk bina satu kedai dengan wang tersebut sebagai tanda ingatan terhadap arwah," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Zulkifli merupakan pegawai polis komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Sabah pada Mac tahun lalu. Sejumlah 12 penceroboh bersenjata rakyat asing terbunuh.
Menurut Khatijah walaupun insiden itu hampir setahun berlalu namun sehingga kini masih ada rakan-rakan serta kenalan Zulkifli yang datang menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor.
Mereka turut singgah di rumahnya selepas itu.
Khatijah berkata dia sering menghubungi (menerusi telefon) menantunya Noraziah Nor, 30, yang kini menetap di Perlis bersama tiga anaknya yang masih kecil.
#ASP Zulkifli Mamat #komando VAT 69 #Lahad Datu #Sabah #Wira Lahad Datu
;