Impian penduduk Selangau miliki sekolah menengah baharu jadi kenyataan

Bernama
September 7, 2024 06:00 MYT
Pandangan udara di Selangau... Sekolah baharu itu nanti akan dibina di tanah berkeluasan 8.9 hektar, 79km dari Sibu dan dapat menempatkan 400 pelajar. - Gambar Bernama
SIBU: Impian penduduk di Selangau untuk mempunyai sebuah sekolah menengah baharu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi dengan pelaksanaan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau.
Sekolah itu akan dibina di tanah berkeluasan 8.9 hektar, 79km dari sini dan dapat menempatkan 400 pelajar.
"Sekolah ini akan dibina dengan jumlah kontrak melebihi RM81 juta dalam tempoh 35 bulan dan tarikh siap pada 14 Jun 2027," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin, Christopher Gira Sambang.
Berucap selepas upacara miring di tapak projek itu pada Sabtu, Gira berkata, sekolah itu akan mempunyai 18 bilik darjah, blok asrama pelajar lelaki dan perempuan, 20 rumah guru, dewan makan, makmal dan serta gelanggang sukan.
Beliau berkata, selain memudahkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah lebih dekat dengan tempat tinggal mereka, pembinaan sekolah itu juga membantu menyelesaikan kesesakan pelajar di SMK Ulu Balingian.
Selangau, katanya, memiliki lebih 20 sekolah rendah dan apabila murid dari sekolah berkenaan memasuki Tingkatan Satu, mereka akan bersekolah di SMK Ulu Balingian di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Selangau dan SMK Luar Bandar No. 1 di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Sibu.
SMK Ulu Balingian dan SMK Luar Bandar No. 1 masing-masing terletak kira-kira 28km dan 65km dari pekan Selangau.
Gira berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana mendengar rintihan penduduk Selangau yang memerlukan sebuah sekolah menengah baharu untuk anak-anak mereka.
Penghulu Busang Bedindang yang mewakili penduduk Selangau ketika ditemui pemberita menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana melaksanakan projek itu untuk kepentingan rakyat.
"Kami sememangnya telah lama menanti sekolah ini dibina di sini. Selepas ini anak-anak kami akan mempunyai akses yang lebih baik kepada pendidikan di peringkat sekolah menengah dan ibu bapa tidak perlu menghantar anak-anak ke sekolah yang jauh," katanya. - BERNAMA
#sekolah menengah baharu #Penduduk #kemudahan #Selangau #pendidikan
;