'Impian ayah meninggal dunia ketika bekerja untuk rakyat' - Anak Salahuddin

Sinar Harian
Julai 24, 2023 13:20 MYT
Iskandar yang mewakili keluarga memohon semua pihak mendoakan Allahyarham bapanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu pergi dengan nama yang baik dan jasa baiknya. - Gambar/ Sinar Harian
PONTIAN: "Ayah ada beritahu sekiranya dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan sedang bekerja untuk rakyat," kata anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Iskandar Zulkarnain, 37, berkata, terlalu banyak nasihat diberikan Allahyarham kepada dia dan lima adiknya yang sudah lama memahami hakikat bapanya itu 'milik rakyat'.
"Sebagai anak, kami sudah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.
"Terlalu banyak nasihatnya yang saya ingat antaranya dia pernah pesan jangan campur urusan kerjanya dan dia ajar kami untuk berdikari serta tidak bergantung padanya.
"Kami pun reda apabila dia sudah capai impiannya," katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot di sini, pada Isnin.
Sebelum itu, Iskandar turut mengimamkan jenazah Salahuddin yang mana ia antara permintaan terakhir Allahyarham.
Upacara pengebumian Salahuddin Ayub disempurnakan
Iskandar yang mewakili keluarga memohon semua pihak mendoakan Allahyarham bapanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu pergi dengan nama yang baik dan jasa baiknya.
"Kalau ada yang buruk-buruk, andai dia silap dan terkasar kata, kami minta maaf," katanya. - Sinar Harian
#Salahuddin Ayub #meninggal dunia #anak #khidmat kepada rakyat
;