Impian 24 tahun seorang pemuda bertemu Tun Mahathir suntik semangat netizen
Kohilah Sekaran
Mac 29, 2016 19:26 MYT
Mac 29, 2016 19:26 MYT
Impian yang disimpan selama 24 tahun oleh seorang lelaki untuk bertemu idolanya iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menjadi kenyataan.
Kisah pemuda ini nyata telah menyuntik semangat rata-rata netizen di media sosial.
Mohd Fahmi Huzairi dari Mentakab Pahang merupakan seorang penyokong setia Tun Mahathir yang telah lama menunggu hari terbaik untuknya bertemu pemimpin tersebut.
Lebih mengagumkan, Fahmi menghadiri perhimpunan Kongres Rakyat dari Mentakab dengan menggunakan wang tabungnya.
Difahamkan, Fahmi telah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyertai perhimpunan yang turut dihadiri Tun Mahathir pada Ahad lalu.
Tetapi malangnya, beliau terpaksa bermalam di Kuala Lumpur dengan bantuan seorang rakan kerana tidak ada bas yang bertolak ke Pahang pada malam itu.
Mungkin itu adalah takdir Fahmi untuk bertemu Tun Mahathir pada keesokan harinya.
Bak kata pepatah, “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”
Kegigihan dan kekaguman Fahmi akhirnya menemukan beliau dengan lelaki yang pernah memimpin negara selama 22 tahun itu.
Dengan bantuan rakan-rakan penyokong Tun Mahathir, Fahmi berpeluang untuk bertemu serta meluangkan masa bersama Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada pagi Isnin sebelum beliau bertolak ke Mentakab.
Bukan sekadar bertemu, Fahmi sempat meluahkan kasih sayangnya dengan memeluk Tun Mahathir.
Beberapa keping rakaman pertemuan itu kemudian dikongsi oleh Fahmi menerusi laman Facebooknya dan ia menjadi viral dalam sekelip mata.
Susulan itu, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan sikap keikhlasan dan kasih sayang Tun Mahathir yang sanggup memeluk seorang rakyat biasa seperti Fahmi.
Malah, mereka juga berpendapat pertemuan ini merupakan pembakar semangat kepada golongan muda di negara ini.
Seorang pengguna Facebook, Rayyan Adam berkata, “Jika diukur dari penelitian jurufoto profesional , foto sebegini adalah klasik, inspirasi, mempamerkan suatu ketulenan hubungan ikhlas antara seorang pemimpin dan rakyat biasa."
“Terharu tengok gambar-gambar ini...bukan memuja...bukan memuji...tetapi kerana kasih sayang suci dan ikhlas buat pemimpin yang cukup disayangi dunia ini.
“Kami semua bangga ada pemimpin seperti ayahanda Tun Dr Mahathir,” kata Putra Kola.