IMPAK18 gabungkan komponen pendidikan, pekerjaan, keusahawanan - Rahman Dahlan
Ruzaini Zulkepli
Mac 4, 2018 15:23 MYT
Mac 4, 2018 15:23 MYT
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kini berada di landasan tepat untuk meningkatkan lagi keupayaannya memberikan peluang dan informasi terkini dalam memantapkan pendidikan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan membangunkan keusahawanan Bumiputera termasuklah di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, mekanisme TERAJU yang juga di bawah kelolaan kementeriannya iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dilihat bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan malah dapat menjana pendapatan untuk rakyat di negeri ini.
Melalui program Inisiatif Memperkasa Pendidikan, Pekerjaan dan Keusahawanan (IMPAK18) yang diadakan di 1Borneo hari ini, beliau berkata, ia secara asasnya menggabungkan tiga komponen penting iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.
Jelas beliau, ketiga-tiga komponen ini adalah asas penting dalam membangunkan kesejahteraan komuniti Bumiputera dan dalam masa sama dapat membangunkan negara dan membina anak bangsa, perkara pokoknya adalah dengan membina asas pendidikan atau modal insan.
"Program IMPAK18 pada asasnya menggabungkan tiga komponen penting iaitu pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.
"Ketiga-tiga komponen ini adalah asas penting dalam membangunkan kesejahteraan komuniti Bumiputera. Dalam membangunkan negara dan membina anak bangsa, perkara pokoknya adalah dengan membina asas pendidikan atau modal insan," kata beliau dalam ucapan perasmian sempena pelancaran IMPAK18 di perkarangan 1Borneo, dekat Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) EPU, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.
Untuk rekod, siri jelajah IMPAK18 berkenaan adalah kali keempat dilaksanakan selepas Selangor, Kedah dan Sarawak, baru-baru ini.
Program yang dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu antara lain mengetengahkan insiatif pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan dengan usahasama beberapa jabatan serta agensi kerajaan yang lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan lain-lain lagi.
Intipati program sisi jelajah IMPAK18 ini juga akan terus dipertingkatkan bagi memastikan komuniti setempat mendapat manfaat daripada segala inisiatif dan rangkaian kemudahan yang disediakan oleh kementerian, agensi dan syarikat yang mengambil bahagian.
"Hari ini, saya sangat gembira melihat institusi pendidikan yang dinaungi kerajaan seperti Yayasan Peneraju, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Universiti Teknologi Mara, GIATMARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Kraf Negara, Pusat Latihan Kemahiran Pertanian, Akademi Binaan Malaysia, Politeknik Kota Kinabalu, Universiti Malaysia Sabah, Kumpulan Yayasan Sabah dan kolej-kolej yang bersama terlibat mengadakan temuduga saringan dan bertemu dengan bakal pelatih.
"Selain daripada aspek pendidikan, dalam program IMPAK18 ini kita memberi fokus untuk memberi pekerjaan," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik TERAJU Zain Amri Ayeob berkata, pihaknya berharap Jelajah IMPAK18 di Sabah akan membuahkan hasil lebih-lebih lagi dengan 700 peluang pekerjaan menerusi temuduga terbuka dan pelbagai program sampingan yang ditawarkan pada hari ini.
"Kami harap orang ramai akan datang ke event kami ini kerana di Sabah sahaja untuk hari ini kita ada 700 peluang pekerjaan yang disediakan untuk temuduga terus dan harapan kami adalah kami dapat meneruskan program ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat setempat, "katanya.
Beliau dalam pada itu menambah, pihaknya turut berharap melalui program IMPAK18 juga, orang ramai lebih mendekati TERAJU dan agensi yang bekerjasama untuk menerima manfaat seperti peluang pekerjaan serta maklumat berkaitan perniagaan.
" Pada pendapat kami banyak peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan, agensi kerajaan dan juga Syarikat Milik Kerajaan (GLC) yang mungkin rakyat setempat di luar bandar dan di kawasan kawasan luar Lembah Klang yang mungkin tidak berpeluang menanyakan soalan ataupun menghampiri dan mendekatkan diri kepada peluang peluang ini, "katanya.
#Abdul Rahman Dahlan
#EPU
#IMPAK18
#peluang pekerjaan
#Teraju
#Unit Peneraju Agenda Bumiputera
#Unit Perancang Ekonomi