Impak COVID-19: Felda D'Saji terpaksa kecilkan operasi, pekerja diberi cuti tanpa gaji

Najib Aroff
Jun 18, 2020 11:47 MYT
Felda DSaji dimiliki 60 peratus oleh KPF sementara bakinya milik Felda.
Restoran dan penyedia khidmat sajian terkemuka Felda D’Saji Sdn Bhd bakal memberikan cuti tanpa gaji kepada tenaga kerjanya susulan tekanan kewangan yang dihadapai syarikat terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pengurus Sumber Manusia Felda D’Saji Sdn Bhd, Datuk Zakaria Arshad, tiada cadangan untuk menutup D’Saji buat masa ini namun operasi akan dikecilkan.
“D’Saji tidak ditutup, cuma kita laksanakan pengurangan kakitangan di bahagian tertentu dan sebahagiannya diberi cuti tanpa gaji bagi menyesuaikan kedudukan kewangan syarikat yang meruncing.
“Operasi bankuet dan majlis perkahwinan atau korporat terpaksa dihentikan kerana tiada tempahan, sebaliknya terdapat pembatalan dan penangguhan dewan untuk majlis berkaitan,” kata Zakaria ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, jumlah sebenar tenaga kerja yang terlibat belum diputuskan namun berdasarkan semakan Astro AWANI, D’Saji mempunyai sekitar 260 tenaga kerja.
Namun memo dalaman yang dikeluarkan Zakaria pada 15 Jun yang dilihat Astro AWANI, menyatakan syarikat akan melaksanakan pengambilan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada semula petugas secara berperingkat.
“Adalah dimuklumkan bahawa Felda D’Saji Sdn Bhd telah mengalami krisis aliran tunai yang ketat sejak 3 hingga 5 tahun kebelakangan ini berikutan jumlah jualan dan pendapatan operasi semasa tidak mampu menampung kos operasi dan kos tetap syarikat.
“Penguatkuasaan PKP oleh kerajaan mulai 18 Mac 2020 dalam menangani wabak COVID-19 telah meruncingkan lagi keadaan kewangan syarikat yang terlibat dalam industri minuman dan makanan, kerana operasi tidak dapat dijalankan seperti biasa dan hanya beroperasi pada kadar yang minima.
“Aliran tunai semasa menunjukkan syarikat tidak mampu membuat bayaran kepada pemiutang berjumlah RM14.80 juta, malahan pembayaran gaji petugas seterusnya juga akan terjejas.
“Sehubungan dengan itu bagi meneruskan kelangsungan operasi syarikat, Lembaga Pengarah Syarikat dengan berat hati telah membuat keputusan melaksanakan pengambilan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada semua petugas secara berperingkat,” menurut memo tersebut.
Bagaimanapun pihak D’Saji masih menyediakan beberapa kemudahan bagi menjamin kebajikan pekerja antaranya mengekalkan kemudahan perubatan, dan memberikan kelonggaran notis berhenti kerja 24 jam sekiranya pekerja menerima tawaran baharu,
“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira dan meneliti segala faktor bagi mewujudkan penyelesaian yang harmoni dan terbaik bagi syarikat dan petugas,” menurut memo itu.
Sehubungan itu beberapa sesi townhall dijangka diadakan pada Khamis bagi mengumumkan keputusan itu melibatkan Kumpulan Bukan Eksekutif, dan Eksekutif.
Sesi itu bagi mengumumkan pemberian surat cuti tanpa gaji kepada tenaga kerja D’Saji melibatkan Bukan Eksekutif, Eksekutif, dan Unit Asrama.
Menurut memo itu lagi keputusan pengecilan operasi itu diputuskan sewaktu mesyuarat Lembaga Pengarah Felda D’Saji pada 10 Jun 2020.
Namun menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, keputusan untuk Koperasi Permodalan Felda (KPF) menyuntik dana bantuan kepadsa D’Saji gagal dicapai sekaligus menyebabkan proses cuti tanpa gaji dilakukan.
Namun, Zakaria menegaskan dana untuk operasi D’Saji masih disalurkan namun prestasi yang merosot menyukarkan keadaan.
“KPF telah menyuntik lebih RM30 juta sejak tahun 2008 lagi. Prestasi kewangan D’Saji sejak 5 tahun Ini merosot. Dana untuk operasi masih dilaksanakan,” tambahnya.
Tambah sumber, operasi terakhir D’Saji adalah minggu ini sebelum dihentikan operasi buat sementara waktu.
Sumber turut memaklumkan, Ketua Pegawai Eksekutif Felda D’Saji, Ahmad Zaki Abdullah sudah melepaskan jawatannya pada Rabu namun Zakaria mengesahkan Ahmad Zaki termasuk antara yang diberikan cuti tanpa gaji.
Felda D’Saji dimiliki 60 peratus oleh KPF dan bakinya adalah milik Felda.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan daripada FELDA dan Ahmad Zaki.
#Ahmad Zaki Abdullah #cuti tanpa gaji #D Saji #dana #Felda #kebajikan pekerja #kewangan #letak jawatan #memo dalaman #operasi #pengecilan operasi #pengurangan kakitangan #PKP #prestasi merosot #surat cuti #tangguh #tekanan #tenaga kerja #townhall #tutup #Zakaria Arshad
;