Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan migran guna laluan perairan Selangor
Bernama
Mei 3, 2019 07:02 MYT
Mei 3, 2019 07:02 MYT
Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang aktif menggunakan laluan sekitar perairan Selangor dalam operasi khas pada Khamis malam.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, sindiket berkenaan menjadikan sebuah negara jiran sebagai transit sebelum migran yang diseludup dibawa ke Malaysia menggunakan bot melalui perairan sempadan negara dan ditempatkan di rumah transit di negara ini.
Dalam serbuan di sebuah kondomium mewah di Setapat, Kuala Lumpur, pasukan Imigresen berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 30-an. Salah seorang daripada mereka adalah dalang utama menguruskan kemasukan migran melalui jalan yang tidak diwartakan.
Menurut Khairul Dzaimee, dalam serbuan tersebut, pihak Imigresen menemukan satu unit kediaman yang dijadikan rumah transit bagi migran.
Semasa pemeriksaan, pasukan serbuan menemui 17 lelaki warga Bangladesh berumur antara 25 tahun dan 35 tahun berada dalam rumah transit tersebut, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Khairul Dzaimee berkata siasatan awal mendapati kesemua migran masuk ke negara transit pada 24 April dan diseludup ke Malaysia secara berperingkat melalui perairan di Tanjung Sepat.
"Kesemua mereka dikenakan bayaran sebanyak RM11,000 hingga RM15,000 setiap seorang," katanya pada Jumaat.
Kesemua migran yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya. -- Bernama
#jabatan imigresen
#Ketua Pengarah Imigresen
#Khairul Dzaimee Daud
#migran
#operasi
#penyeludupan
#Selangor