Imigresen tumpas sindiket seludup pendatang tanpa izin, tahan lima individu
Bernama
Disember 13, 2022 22:53 MYT
Disember 13, 2022 22:53 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) telah menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada Jumaat lepas.
Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima individu berumur lingkungan 31 hingga 49 tahun termasuk dua kakitangan agensi itu, yang disyaki bersubahat dengan sindiket tersebut, telah ditahan.
"Tangkapan terdiri daripada dua wanita warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen. Turut ditahan dua pegawai Imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan pendatang tanpa izin itu," katanya.
Mengulas modus operandi sindiket itu, beliau berkata ejen akan mengatur kemasukan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai Imigresen terbabit di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk dengan kadar upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap orang.
Katanya pendatang tanpa izin itu kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi bagi tujuan bekerja secara tidak sah dan kemasukan mereka tidak direkod dalam sistem Imigresen.
Khairul Dzaimee juga berkata dua pegawai Imigresen dan ejen terbabit ditahan dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala dua wanita itu ditahan serta disiasat di bawah Akta Imigresen 1956/63.
Beliau berkata kedua-dua pegawai Imigresen ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Dis manakala kesemua warga asing terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan melibatkan kakitangan JIM sendiri," katanya.
-- BERNAMA