Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan

Bernama
Ogos 25, 2021 07:30 MYT
Khairul Dzaimee berkata sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor dalam satu operasi khas pada 16 dan 17 Ogos hasil risikan selama tiga bulan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.
Beliau berkata dua daripada mereka ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak, yang membawa kepada penahanan seorang lagi warga Pakistan disyaki sebagai pembuat dokumen palsu untuk sindiket itu di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.
Mereka yang ditahan berumur lingkungan 32 hingga 56 tahun dengan dua adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu, menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.
Khairul Dzaimee berkata sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu dan dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.
"Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas," katanya.
Beliau berkata sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.
"Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi," katanya.
Khairul Dzaimee berkata kadar bayaran yang dikenakan sindiket kepada pelanggan ialah antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.
Turut ditemukan dalam operasi itu ialah 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer meja, dua unit mesin pencetak, satu unit mesin lamina, satu unit pembaca pasport, lima keping plat plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera.
Beliau berkata pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu.
Katanya mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #JIM #sindiket pemalsuan dokumen perjalanan #warga Pakistan #Setapak #Khairul Dzaimee Daud
;