Imigresen tidak pernah henti operasi, pantau kawasan tumpuan pendatang asing - Ruslin
Bernama
Februari 13, 2024 18:55 MYT
Februari 13, 2024 18:55 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen tidak pernah menghentikan operasi atau pemantauan terhadap 220 kawasan tumpuan pendatang tanpa izin yang telah dikesan di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata antara kawasan itu ialah Jalan Silang, Kompleks Kota Raya, Bukit Bintang dan Masjid India, di sini, sekali gus kawasan berkenaan sentiasa berada dalam radar jabatan itu.
"Sebagai contoh, orang kita panggil 'mini Dhaka', di sini merujuk kepada tempat selalu dikunjungi oleh warga asing, Dhaka ini di Bangladesh, kemudian 'Little India' adalah kawasan warga asing datangnya dari India.
"Ada juga 'Chinatown', mereka yang datang dari China. Jadi kawasan ini memang kategori titik panas dan masyarakat perlu faham walaupun kita (Imigresen) tahan contohnya 300 lebih warga asing (ketika operasi), yang tidak ada dokumen adalah kurang daripada 20 orang, yang lain kesemua mereka berdokumen," katanya kepada Bernama.
Menurut Ruslin sentimen masyarakat terhadap warga asing ialah kebiasaannya mereka ini merupakan pendatang tanpa izin, walhal ada yang sememangnya bekerja di negara ini secara sah.
"Kami tidak menyalahkan orang awam, apabila mereka membuat aduan kepada Imigresen, kami pergi buat semakan, operasi dan mendapati majoriti mereka ini (warga asing) mempunyai dokumen.
"Mereka bekerja di sini, mereka ada pasport, pas lawatan sama ada sosial atau bekerja maka perkara ini menjadi kebimbangan masyarakat berterusan kerana banyak 'Little', 'Mini' dan sebagainya. Oleh itu semua tempat kami buat operasi," katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata seramai 10,467 pendatang tanpa izin telah ditahan daripada keseluruhan 19,873 orang diperiksa pihaknya bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Feb lepas.
Beliau berkata kesemuanya ditahan menerusi 1,687 operasi.
"Penghantaran pulang tahun ini melibatkan 4,639 pendatang tanpa izin, tetapi mereka ini merujuk juga kepada tangkapan pada tahun lepas," katanya menambah seramai 75 majikan turut ditahan sejak 1 Jan hingga 8 Feb lepas kerana menggajikan pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA