Imigresen tekankan elemen 3P dalam tangani rasuah

Bernama
September 12, 2017 22:25 MYT
Mustafar tekankan aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan. - Astro AWANI/Shahir Omar
Jabatan Imigresen memberi penekanan terhadap tiga elemen termasuk penguatkuasaan bagi menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai dan anggotanya di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata dua lagi elemen yang mustahak adalah pencegahan dan pendidikan.
"Elemen itu merupakan perkara paling penting perlu diterapkan dalam budaya kerja yang terdedah kepada risiko rasuah di kalangan kakitangan agensi penguatkuasa undang-undang berkenaan.
"Kita sentiasa bersiap siaga (menangani gejala rasuah) kerana itu bukan budaya kita dalam melaksanakan tugas dengan integriti dan tidak sekali-kali terlibat dengan gejala rasuah atau sebarang bentuk penyelewengan," katanya.
Mustafar bercakap kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani IBR (Ikrar Bebas Rasuah) Jabatan Imigresen Perak dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri Datuk Nooraziah Abd Manaf di sini hari ini.
Beliau berkata ketika ini terdapat 15,000 pegawai dan anggota ditempatkan di Jabatan Imigresen di seluruh negara.
-- BERNAMA
#IBR #integriti #Mustafar Ali #Rasuah #salah laku
;