Imigresen tahan 72 PATI, petempatan jadi sarang pelacuran
Hilmi Malik
Julai 4, 2021 13:53 MYT
Julai 4, 2021 13:53 MYT
KUALA LUMPUR : Satu serbuan yang dijalankan di sebuah bangunan yang menjadi penempatan warga asing di Pudu, Kuala Lumpur telah membawa kepada tangkapan seramai 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia pada Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan mendapati, petempatan itu turut dijadikan sebagai lubuk pelacuran meskipun pernah diserbu pihak imigresen sebelum ini.
“Keadaan petempatan bukan sahaja tidak mematuhi SOP malah keadaan sekeliling turut dalam keadaan kotor dan tidak teratur.
“Kita telah menahan seramai 72 warga asing pelbagai warganegara yang berusia antara 25 hingga 50 tahun.
“Kesemua mereka terdiri daripada 43 individu lelaki dan 29 wanita,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Ketika serbuan, ada cubaan untuk melarikan diri menerusi laluan yang telah diubah suai namun usaha itu berjaya digagalkan pihak berkuasa.
Malah ada juga yang enggan memberikan kerjasama, lalu memaksa anggota memecahkan pintu bilik dan mendapati mereka hanya menyorok di dalam bilik serta mematikan lampu.
Menurut Khairul Dzaimee, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.
Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Siasatan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.