Imigresen tahan 54 pendatang tanpa izin dalam Op Belanja, Sapu dan Selera
Bernama
Julai 5, 2024 17:16 MYT
Julai 5, 2024 17:16 MYT
IPOH: Seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di 16 premis kediaman dan perniagaan di daerah Kinta di sini pada Op Belanja, Sapu dan Selera yang dilakukan selama dua hari bermula semalam.
Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Imigresen Negeri Perak di kesemua lokasi berkenaan.
"Warga asing yang ditahan terdiri 49 lelaki dan lima wanita berusia antara 22 hingga 56 tahun. Kesemua dipercayai berasal dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, Indonesia, Sri Lanka dan Pakistan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Meor Hezbullah berkata kesemua warga asing terbabit ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses perundangan.
Siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah dikeluarkan serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
Beliau berkata pihaknya akan mengenakan tindakan tegas sekiranya ada majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mana-mana pendatang tanpa izin selain berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu imigresen membanteras kebanjiran mereka di negara ini.
-- BERNAMA